Sunday, May 19, 2024
28.2 C
Brunei

    -

    Rublev takluk Terbuka Madrid

    MADRID, 6 MEI – Andrey Rublev memenangi saingan sukar Terbuka Madrid 4-6, 7-5, 7-5 ke atas Felix Auger-Aliassime kelmarin untuk memastikan gelaran kedua tahun ini, walaupun beraksi dalam keadaan tidak sihat.

    Pemain nombor lapan dunia dari Rusia itu berkata dia hampir tidak dapat tidur minggu ini selepas memperoleh kemenangan kedua dalam Masters 1000.

    Rublev telah tewas empat perlawanan berturut-turut sebelum tiba di ibu negara Sepanyol tetapi bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan lawannya dari Kanada.

    Pemain berusia 26 tahun itu memenangi Terbuka Hong Kong pada Januari tetapi mngalami kesukaran sejak itu sebelum mempertingkat prestasinya di Madrid, hanya kehilangan satu set dalam perjalanan ke perlawanan akhir yang mendebarkan.

    “Saya fikir ia adalah perlawanan yang luar biasa, Felix juga berhak untuk menang hari ini dan kami menunjukkan pertarungan hebat bersama, saya fikir perkara yang paling penting ialah penonton seronok menyaksinya,” kata Rublev di gelanggang.

    Reaksi Andrey Rublev selepas memenangi perlawanan tenis akhir perseorangan lelaki di kejohanan ATP Tour Madrid Terbuka 2024 di Caja Magica di Madrid pada 5 Mei. – AFP

    “Sukan kami adalah seperti ini, kami tidak boleh mempunyai kedua-dua pemenang.”

    Rublev, yang merangkul mahkota Madrid daripada juara berganda, Carlos Alcaraz yang ditewaskannya pada suku akhir, berkata dia bermain walaupun berasa sakit pada minggu ini dan memuji doktornya kerana membantunya.

    “Sekiranya awda tahu apa yang saya lalui dalam sembilan hari yang lalu, awda tidak akan membayangkan bahawa saya akan dapat memenangi gelaran ini,” tambahnya.

    “Saya hampir mati setiap hari, saya tidak tidur pada waktu malam dengan tiga, empat hari terakhir saya tidak tidur.”

    Auger-Aliassime mara ke final selepas lawannya, Jiri Lehecka menarik diri akibat kecederaan pada separuh akhir dan lawan suku akhir, Jannik Sinner menarik diri kerana kecederaan pinggul dengan keputusan seri ATP di kejohanan gelanggang tanah liat dirundung nasib malang. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...