Monday, May 6, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    IHP Jun catat peningkatan 0.8 peratus

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Indeks Harga Pengguna (IHP) Negara Brunei Darussalam meningkat sebanyak 0.8 peratus bulan-ke-bulan bagi Jun 2022, berbanding dengan Mei 2022.

    Peningkatan berkenaan disebabkan peningkatan indeks makanan dan minuman ringan, dan indeks bukan makanan masing-masing sebanyak 0.5 peratus dan 0.8 peratus, menurut Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Jabatan itu turut mengongsikan, berbanding Jun 2021, IHP catat peningkatan 3.9 peratus. Peningkatan berkenaan adalah selaras dengan peningkatan harga makanan dan minuman ringan; dan bukan makanan masing-masing sebanyak 5.8 peratus dan 3.5 peratus.

    Ia adalah disebabkan kenaikan harga makanan seperti minyak dan lemak 23.7 peratus, daging 12.4 peratus, dan ikan dan makanan laut 7.3 peratus.

    Peningkatan harga minyak dan lemak terutamanya disebabkan kenaikan harga minyak masak daripada negara-negara pembekal. Dalam pada itu, kenaikan harga daging ayam merupakan penyumbang utama kepada peningkatan harga daging disebabkan oleh peningkatan kos makanan ternakan ayam manakala, peningkatan harga ikan dan makanan laut adalah disebabkan peningkatan kos operasi bagi pembekal dan kos perkhidmatan penghantaran.

    Manakala itu, peningkatan dalam komponen bukan makanan adalah didorong oleh pelbagai barangan dan perkhidmatan sebanyak 14 peratus; pengangkutan 5.3 peratus; dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain 2.3 peratus.

    Kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga insurans kenderaan manakala, peningkatan dalam pengangkutan adalah terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga kenderaan bermotor dan tiket penerbangan.

    Kenaikan kos penyelenggaraan dan pembaikan tempat kediaman; dan harga sewa kediaman, telah mendorong kepada peningkatan harga perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain.

    IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan. Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

    Laporan penuh IHP boleh didapati melalui laman sesawang JPES, https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemberontak Kashmir disyaki bunuh koperal tentera udara India

    SRINAGAR, 5 MEI - Seorang anggota tentera udara India terbunuh dan empat lagi cedera apabila pemberontak disyaki menyerang hendap konvoi tentera di Kashmir yang...