Monday, May 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Indonesia kutuk serangan Israel ke atas Rafah

    JAKARTA, 8 MEI – Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel ke atas bandar Rafah di Palestin dan kawalan yang dikenakan ke atas sempadan Rafah di sebelah Palestin.

    Kementerian Luar Negeri Indonesia menyatakan, “Sebarang usaha untuk pemindahan paksa atau pengusiran penduduk Palestin, termasuk dari Rafah, tidak boleh diterima kerana ia dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.”

    Melalui akaun rasmi X kementerian itu hari ini, mereka menggesa masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, agar segera mengambil tindakan untuk menghentikan kekejaman Israel serta mengelak sebarang bencana kemanusiaan daripada berlaku.

    Kenyataan itu juga menegaskan, “Indonesia mengulangi seruannya untuk gencatan senjata segera dan kekal di Gaza serta menghapuskan semua halangan terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan.”

    Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan bahawa serangan terkini Israel ke atas Rafah di Gaza pada 6 Mei telah menyebabkan 19 kematian.

    Pada hari yang sama, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa pengepungan ketenteraan dan serangan darat di Rafah akan menimbulkan risiko bencana kepada 600,000 kanak-kanak yang mencari perlindungan di kawasan itu.

    Menurut UNICEF, selepas arahan pemindahan oleh tentera Israel pada 13 Oktober 2023 supaya berpindah ke selatan, kira-kira 1.2 juta orang kini berlindung di Rafah, yang sebelum ini menampung hanya sekitar 250,000 penduduk. – Bernama

    Seorang pemuda Palestin memeriksa kerosakan di dalam bangunan yang musnah berikutan pengeboman Israel ke atas daerah Tal al-Sultan Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 7 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jasad Anna Gutu, malim gunung ditemui selepas setahun hilang

    KATHMANDU, 19 MEI - Sepasukan pendaki gunung telah mendapatkan mayat pendaki Amerika Syarikat (AS) dan malim gunung yang tertimbus dalam runtuhan salji di Gunung...