Friday, May 3, 2024
29.8 C
Brunei

    -

    Jun Hao tekad tebus kesilapan di Malaysia Masters

    PHNOM PENH, 16 MEI – Selepas terlepas tiket final perseorangan lelaki pada Sukan SEA 2023, pemain Malaysia, Leong Jun Hao kini tidak sabar untuk menebus kesilapannya pada Kejohanan Malaysia Masters 2023, minggu depan.

    Pemain ranking ke-64 dunia itu berkata dia berharap dapat melepasi undian utama Malaysia Masters kerana dijadual beraksi pada pusingan kelayakan pertama dalam kejohanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dari 23 hingga 28 Mei.

    Walaupun berjaya meraih gangsa dalam acara perseorangan lelaki, pemain berusia 23 tahun itu percaya kemenangannya ke atas juara bertahan Malaysia Masters, Chico Aura Dwi Wardoyo, 21-16, 21-13, pada perlawanan akhir acara berpasukan lelaki, Khamis lepas, telah meningkatkan keyakinannya untuk berdepan pemain ranking tinggi pada masa akan datang.

    Mengenai prestasi keseluruhannya pada temasya dwitahunan di Kemboja itu, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata pencapaian di sini masih baik kerana beliau berjaya membantu Malaysia meraih perak dalam acara berpasukan lelaki selepas tewas kepada Indonesia 1-3, pada perlawanan akhir baru-baru ini.

    “Saya akan bincang dengan jurulatih selepas ini untuk perbaiki kekurangan saya di sini. Saya juga berharap untuk lebih konsisten selepas ini,” katanya ketika ditemui di Dewan Badminton Morodok Techo.

    Dalam pada itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Shun Yang, cukup gembira dengan prestasinya di Kemboja selepas mengalami permulaan kurang baik dalam temasya sukan itu, apabila tewas dua perlawanan dalam acara berpasukan. – Bernama

    Aksi Leong Jun Hao ketika menentang pemain Indonesia pada peringkat separuh akhir Sukan SEA 2023 di Stadium Badminton Morodok Techo Phnom Penh, Kemboja, 15 Mei. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...