PHNOM PENH, 12 JAN – Kemboja merekodkan 792 ibis bahu putih dalam banci tahun 2022, peningkatan sebanyak 5 peratus daripada 755 ekor burung setahun sebelum itu, kata pegawai pemuliharaan kelmarin.
Bou Vorsak, pengarah BirdLife di Kemboja, berkata bancian tersebut, dijalankan bersama dengan ahli Kumpulan Kerja Ibis Kemboja (CIWG), menemui 377 ibis bahu putih di Perlindungan Hidupan Liar Siem Pang, 326 di Hutan Banjir Mekong, dan 89 di Perlindungan Hidupan Liar Koh Srolauv, Kulen Promtep, Lomphat, Srepok dan Phnom Prich.
“Ibis bahu putih merupakan burung paling jarang ditemui di dunia, dengan populasi global sekitar 1,000 ekor burung,” katanya kepada Xinhua. “Kemboja merupakan habitat terbesar bagi spesies terancam ini, menyumbang hampir 80 peratus populasi global.”
Vorsak berkata BirdLife di Kemboja berbesar hati untuk menyokong kumpulan kerja spesies ini untuk membangunkan dan melaksanakan pelan tindakan pemuliharaan ibis Kemboja untuk melindungi burung terancam ini daripada pupus.
Ibis bahu putih (Pseudibis davisoni) diklasifikasikan sebagai sangat terancam, kategori tertinggi ancaman ke atas satu-satu spesies, dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Neth Pheaktra, setiausaha kerajaan dan jurucakap Kementerian Alam Sekitar, berkata pihak kerajaan berterima kasih kepada semua rakan pemuliharaan atas usaha untuk melindungi dan memulihara sumber alam semula jadi dan hidupan liar, termasuk ibis bahu putih.
“Kementerian Alam Sekitar dan rakan NGO (badan bukan kerajaan) akan meneruskan usaha untuk menyediakan habitat yang selamat untuk hidupan liar melalui penguatkuasaan undang-undang, sokongan ekonomi tempatan dan kempen pendidikan untuk mengubah sikap orang ramai,” katanya. “Kementerian Alam Sekitar akan terus mendidik orang ramai untuk berhenti memerangkap, memburu, memakan dan memperdagangkan hidupan liar.”
Pengarah World Wide Fund (WWF) Kemboja, Seng Teak mengucapkan tahniah atas peningkatan bilangan populasi ibis bahu putih di Kemboja.
“Kami bersedia bekerjasama dalam usaha tindakan pemuliharaan bersama untuk mengembangkan spesies yang jarang ditemui ini.” – Xinhua