Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes virus Bluetongue melonjak di Eropah

    PARIS, 14 OGOS – Kes virus Bluetongue (BTV) telah meningkat dengan mendadak di beberapa negara Eropah, menurut data yang dikumpulkan oleh AFP kelmarin, di mana penternak bimbang tentang akibatnya terhadap biri-biri dan lembu.

    BTV ialah penyakit virus bawaan serangga yang tidak berjangkit yang menjejaskan binatang ternakan seperti biri-biri dan lembu tetapi tidak mempengaruhi khinzir atau kuda. Ia sukar untuk dikawal sebaik sahaja ia merebak.

    Wabak pertama BTV-3 telah didaftarkan di Belanda pada September 2023, sebelum merebak ke Belgium, Jerman dan Britain.

    Namun, bilangan wabak penyakit ini, yang disebarkan oleh serangga kecil, telah melonjak dalam kalangan ternakan Eropah dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

    Belanda merekodkan 2,909 kawasan yang dijangkiti pada Isnin, menurut Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan dan Produk Pengguna Belanda. Ini adalah 650 kawasan lebih banyak daripada minggu sebelumnya, lapor media Belanda.

    Sementara itu, Jerman mengesahkan terdapat 1,885 kluster pada 8 Ogos, menurut Institut Friedrich Loeffler (FLI), pusat penyelidikan penyakit haiwan terkemuka di negara itu.

    Sepanjang tahun 2023, negara tersebut hanya mengalami 23 wabak.

    Platform pemantauan wabak haiwan Perancis, ESA dalam laporan yang diterbitkan kelmarin mengatakan bahawa 515 kes telah dikesan di Belgium antara 1 Jun dan 11 Ogos, dengan 436 kes dalam masa seminggu sahaja.

    Virus itu tidak membahayakan manusia, tetapi bagi haiwan, ia menyebabkan demam panas, ulser di mulut dan bengkak di kepala. – AFP

    Penternak Jean-Noel Verge berdiri bersama biri-birinya, yang menghidap virus Bluetongue (serotype 8), di ladangnya di Saint-Felix-de-Rieutord, selatan Toulouse, pada 8 Ogos lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda