Wednesday, May 8, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Malaysia tidak lupa pengorbanan wira perang Australia, NZ di Sandakan

    SANDAKAN, 26 APRIL – Malaysia tidak pernah melupakan pengorbanan wira perang Australia dan New Zealand (NZ) semasa Perang Dunia Kedua khususnya di Sandakan dan pengajaran daripada sejarah itu akan disampaikan kepada generasi baharu.

    Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, kenangan mengenai kisah tawanan perang yang menderita dan terkorban semasa kejadian kawad maut yang terkenal itu terukir di Taman Peringatan Sandakan.

    “Lebih 2,400 askar bersekutu kebanyakannya dari Australia dan New Zealand memulakan perjalanan (dalam kejadian itu), namun hanya sedikit yang dapat kembali, kita diingatkan bahawa kebebasan yang dinikmati hari ini dibayar dengan nyawa mereka.

    “Menjadi tanggungjawab kita untuk mengingati legasi mereka agar lebih komited kepada keamaan, persefahaman dan menjaga maruah semua manusia,” katanya pada Majlis Hari Kor Tentera Australia dan New Zealand (ANZAC) di Taman Peringatan Sandakan hari ini.

    Wong juga mahu supaya orang ramai bukan sahaja memperingati tetapi juga belajar daripada kisah lepas dan memupuk ikatan persahabatan serta rasa hormat antara rakyat Malaysia, Australia dan New Zealand.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Australia, Matt Thistlethwaite, yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Veteran negara itu berkata dengan adanya taman peringatan dan sambutan Hari ANZAC di sini, membuktikan komitmen dan tanda ikatan dan persahabatan yang kukuh antara Malaysia dan Australia.

    “Terima kasih atas penghormatan dan khidmat anda kepada rakyat Australia di sini hari ini. Terima kasih kepada bandar Sandakan kerana mengalu-alukan kedatangan kami dengan begitu baik dan membantu rakyat Australia memperingati wira-wira kami yang terkorban.

    “Hari ANZAC ialah hari peringatan kebangsaan kami dan ia merupakan hari yang menyatukan rakyat Australia di seluruh dunia dalam memberi penghormatan dan ucapan terima kasih kepada mereka yang telah berkhidmat untuk negara kami, tempat ini dianggap suci buat kami warga Australia,” katanya. – Bernama

    Waris anggota tentera dari Australia meletakkan kalungan bunga pada Tugu Peringatan sempena majlis Anzac Day 2024 di Taman Peringatan Sandakan. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...