Tuesday, May 7, 2024
25.6 C
Brunei

    -

    NATO lancar latihan ketenteraan besar-besaran

    OSLO, 14 MAC – Satu latihan tentera besar-besaran membabitkan 30,000 pasukan tentera NATO dan negara-negara sekutunya bermula di Norway hari ini, ketika ketegangan meningkat antara Barat dan Rusia dalam perang Ukraine.

    Latihan Cold Response 2022, dirancang lama sebelum pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, bertujuan menguji bagaimana Norway boleh menguruskan penguatkuasaan pihak bersekutu di negaranya, sejajar dengan Artikel 5 Piagam NATO yang memerlukan negara anggotanya membantu negara anggota lain yang diserang.

    “Ia adalah satu latihan pertahanan,” kata Jeneral Yngve Odlo, yang mengetuai Cold Response. “Ia bukanlah satu operasi tentera dengan tujuan menyerang,” katanya memberitahu saluran TV2.

    Dianjurkan setiap dua tahun, latihan tentera laut, udara dan darat diadakan di sebahagian besar kawasan luas Norway, termasuk Arctic Circle.

    Ia bagaimanapun masih ratusan kilometer jaraknya dari sempadan Norway dengan Rusia.

    Rusia sebelum ini telah pun menolak jemputan Norway untuk menghantar pemantau. “Sebarang persediaan bagi membina keupayaan angkatan NATO berhampiran sempadan Rusia tidak akan membantu mengukuhkan keselamatan di rantau ini,” kata kedutaan Rusia di Norway kepada AFP minggu lalu.

    “Rusia mempunyai kapasiti di luar sana untuk menyertai (latihan) dalam cara yang sah,” kata Odlo. “Saya benar-benar berharap mereka menghormati perjanjian sedia ada,” tambahnya.

    Sekitar 200 pesawat tentera dan 50 kapal tentera mengambil bahagian dalam latihan itu yang akan berlarutan sehingga 1 April. – AFP

    Kenderaan perisai NATO kelihatan dalam latihan ketenteraan Cold Response 22 di Borg Havn, di Fredrikstad, Norway. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...