Tuesday, May 7, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Ops bersepadu catat pelbagai kesalahan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Pelbagai kesalahan telah didapati semasa pemeriksaan dalam operasi bersepadu yang dijalankan ke atas beberapa buah pasar raya dan kedai runcit di kawasan Kampung Jerudong dan Kampung Sengkurong pada 26 Oktober lalu.

    Operasi berkenaan dijalankan oleh Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi bersama Tabung Amanah Pekerja (TAP), Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) serta Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit SDT, hasil operasi berkenaan telah mendapati beberapa pasar raya dan kedai runcit tidak mempamerkan tanda berat bersih ke atas produk-produk berbungkus seperti sayur, buah, makanan kering dan barang mentah.

    Pasar raya dan kedai runcit berkenaan juga didapati mempamerkan tanda berat yang tidak selaras dengan tanda berat yang tertera pada setiap bungkusan.

    Pihak pengurusan dan pekerja-pekerja pembungkus juga telah dikongsikan tatacara membungkus dan menimbang dengan betul.

    Pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di sebuah pasar raya semasa operasi bersepadu pada 26 Oktober lalu. – Gambar serahan SDT

    Notis Peringatan telah dikeluarkan ke atas syarikat-syarikat berkenaan.

    Di samping itu, Unit SDT turut merampas satu unit alat timbangan yang tidak berdaftar dan digunakan bagi tujuan perdagangan.

    Dalam hal tersebut, pihak syarikat telah diberikan Notis Penyitaan dan dikehendaki hadir ke Pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh notis dikeluarkan.

    Sementara itu, dua orang pekerja di dua buah syarikat didapati belum mendaftar dengan TAP.

    JDBM turut mengeluarkan kompaun ke atas dua buah syarikat, masing-masing sebanyak $1,000 dan $500, bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan pembuangan sampah di tempat awam.

    Manakala itu, tiga buah syarikat didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 112 (1) iaitu menggaji pekerja tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh dan Bab 112 (2) melanggar syarat-syarat pengambilan pekerja asing.

    Semasa operasi berkenaan, seorang pekerja asing turut didapati bekerja tanpa lesen dan sembilan orang pekerja asing melakukan pekerjaan lain daripada jawatan yang sah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kerjasama pragmatik China-Serbia berasaskan persahabatan sejati – Presiden Serbia

    BEIJING, 6 MEI - Hubungan Serbia-China yang mendahului negara lain tidak dapat berpisah daripada kerjasama pragmatik dan persahabatan kukuh antara kedua-dua negara, kata Presiden...