Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Pesta tawar pakej pelancongan menarik

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Lyna Mohamad

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Pemain industri pelancongan telah menyahut permintaan orang ramai yang ingin membuat perjalanan dengan bebas.

    Bagaimanapun, peningkatan permintaan dan jangkaan pengembara, kekurangan tenaga kerja dan peningkatan kos rantaian bekalan adalah antara pelbagai cabaran yang dihadapi hari ini.

    Perkara tersebut ditegaskan oleh Pengerusi Sabre Travel Network Brunei Sdn Bhd (Sabre Brunei), Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid dalam ucapan perasmian Pesta Pelancongan Brunei di Pusat Membeli-Belah One City, kelmarin.

    Beliau mengongsikan bahawa kaji selidik yang dijalankan oleh Sabre Asia Pasifik, baru-baru ini, dengan responden daripada ejen pelancongan korporat dan syarikat pengurusan perjalanan di 21 buah negara di seluruh Asia Pasifik termasuk Brunei telah menunjukkan tahap keyakinan yang kukuh di rantau ini.

    Dengan kajian menunjukkan sebanyak 82 peratus responden menjangkakan kepulangan kepada perjalanan korporat pra-pandemik dan 15 peratus menjangkakan ledakan yang lebih besar daripada pra-COVID, dalam tempoh 12 bulan akan datang, Sabre Brunei adalah optimis terhadap pemulihan, ujarnya.

    Kapten Sabirin semasa melawat petak pameran Bank Baiduri pada pesta pelancongan yang diadakan di Pusat Membeli-belah OneCity, baru-baru ini.
    Antara pengunjung yang hadir pada pesta tersebut.

    Mengulas mengenai pesta pelancongan anjuran Sabre Brunei berkenaan, tahun ini merupakan edisi ke-17 dan ia merupakan demonstrasi komitmen mereka untuk menyediakan platform kepada rakan kongsi pengembaraan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka, dan seterusnya menawarkan pelancong kemudahan atau membeli-belah bagi pelbagai tawaran dan pakej pelancongan secara meluas.

    Majlis perasmian berkenan turut menyaksikan kehadiran Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah; pengarah-pengarah Sabre Brunei, Awang Kamal Ariffin bin Dato Haji Abdul Rahman dan Dayang Ida Marsita binti Hidup, dan Pemangku Pengurus Besar Sabre Brunei, Awang Abdul Halim Haji Abdul Rahman.

    Selepas melancarkan pesta pelancongan berkenaan dengan diiringi oleh Awang Kamal Ariffin dan Awang Abdul Halim, Kapten Sabirin dibawa melawat petak-petak pameran di mana beliau turut menyertai pemotongan reben bagi Pavilion Tourism Malaysia.

    Sepanjang acara dua hari itu, para pengunjung berpeluang mendapatkan tawaran terbaik daripada ejen-ejen pelancongan tempatan yang mengambil bahagian, antaranya Straits Central Agencies (SCA), Freme Travel Services, Pan Bright Travel Service dan Darussalam Holdings.

    Turut mengambil bahagian ialah Dar El Ehsan Travel, Anthony Tours & Travel Agency, At-Taqwa Travel Tours, Halim Tours & Travel, JJ Tour Service, dan Southern Cross Travel Agencies.

    Sementara itu, organisasi pelancongan negara yang turut terlibat ialah Lembaga Pelancongan Brunei, Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Lembaga Pelancongan Sabah dan Lembaga Pelancongan Sarawak serta Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand.

    Turut memberi sokongan adalah Bank Baiduri Berhad, Bank Islam Brunei Darussalam dan Bank Standard Chartered serta Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Singapore Airlines dan imagine Sdn Bhd.

    Perkhidmatan insurans semasa pameran itu diwakili oleh Insurans lslam TAIB dan Takaful Brunei Am.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...