Tuesday, May 7, 2024
25.6 C
Brunei

    -

    Polis tahan 4 wanita, seorang lelaki disyaki jadi ‘keldai akaun’

    BALIK PULAU, 11 OKT – Polis Pulau Pinang menahan empat wanita dan seorang lelaki yang disyaki menjadi ‘keldai akaun’ sindiket penipuan berbeza membabitkan kerugian sehingga RM132,580 dalam serbuan sekitar Perak semalam.

    Menurut kenyataan di laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, mereka yang ditahan berusia 22 hingga 42 tahun dan dipercayai terlibat dalam sindiket Macau Scam, pelaburan serta pinjaman tidak wujud.

    “Bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis berjaya menahan lima individu itu dalam serbuan berbeza di sekitar Perak dan siasatan mendapati mereka disyaki menjadi keldai akaun kepada beberapa sindiket penipuan.

    “Berdasarkan maklumat, jumlah kerugian yang dialami mangsa sindiket ialah RM7,500 hingga RM132,580 membabitkan kes penipuan yang dilaporkan di sini sejak tahun 2020 hingga tahun ini,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu turut memaklumkan kesemua suspek direman selama tiga hingga empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Tan Cheng San berkata pihaknya menahan sepasang suami isteri dan merampas 30 kilogram ganja bernilai RM75,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Malwira, Bukit Mertajam Rabu lepas.

    Beliau berkata pasangan berusia 32 dan 36 tahun itu ditahan bersama 29 ketulan mampat ganja yang dipercayai untuk dipasarkan sekitar Pulau Pinang dan mereka dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak Mei tahun lepas. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...