Tuesday, May 7, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Semangat merdeka semarak di Labuan

    LABUAN, 11 OGOS – Sebanyak 7,180 jalur gemilang kini megah berkibaran di segenap pelosok pulau bebas cukai di sini bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

    Di sepanjang jalan utama menuju pusat bandar, jalur gemilang dipacak dan digantung di semua tiang lampu jalan yang membuktikan bahawa Labuan tidak mahu ketinggalan dalam kempen pelancaran Bulan Kebangsaan serta Kibar Jalur Gemilang.

    Pengerusi Perbadanan Labuan Senator Datuk Bashir Alias berkata sebanyak 4,330 jalur gemilang dikibarkan di semua jalan protokol, premis kerajaan dan Taman Botanikal.

    Beliau berkata sebanyak 1,350 jalur gemilang juga telah diserah kepada 27 ketua kampung untuk dikibarkan di halaman rumah di kampung masing-masing.

    “Marilah kita bersama-sama menzahirkan semangat patriotik melalui kibaran Jalur Gemilang di setiap premis kediaman, pejabat mahupun kenderaan masing-masing.

    Kanak-kanak Keluarga Malaysia yang berbilang kaum meraikan sambutan Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang semasa tinjauan di Taman Damai, Labuan. Seramai lebih 300 kanak-kanak dari Tabika dan Taska KEMAS seluruh Labuan memperagakan pakaian pelbagai kaum menyertai sambutan tersebut. – Bernama

    “Semangat kemerdekaan ini perlu digarap oleh semua lapisan masyarakat… ia menjadi inspirasi dalam memelihara kerukunan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum khususnya di Labuan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Pengarah Jabatan Penerangan Labuan Ab Rasil Hajatil pula berkata sebanyak 1,500 jalur gemilang diserahkan kepada enam komuniti Keluarga Malaysia di sini.

    Beliau berharap pemimpin komuniti memberikan kerjasama dalam membantu kerajaan menyemarakkan sambutan setahun sekali ini.

    “Tidak dinafikan setiap kali tibanya bulan Ogos, isu semangat patriotisme sering menjadi bualan masyarakat. Patriotisme perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda.

    “Sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kerjasama pragmatik China-Serbia berasaskan persahabatan sejati – Presiden Serbia

    BEIJING, 6 MEI - Hubungan Serbia-China yang mendahului negara lain tidak dapat berpisah daripada kerjasama pragmatik dan persahabatan kukuh antara kedua-dua negara, kata Presiden...