Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Kongsi ilmu pertanian dalam talian

    HALABJA, IRAQ – Petani Kurdish Iraq, Azad Muhamad telah menjadi bintang media sosial dengan berkongsi petua menanam buah-buahan dan sayuran segar di negara yang sangat terdedah kepada perubahan iklim.

    Lelaki berusia 50 tahun itu dengan hampir setengah juta pengikut di Facebook menyiarkan video mingguan mengenai topik seperti melindungi pokok buah-buahan, menangani serangga dan membantu orang ramai mendapat hasil yang lebih banyak daripada ladang dan kebun mereka.

    “Mereka sepatutnya menjadikan awak sebagai menteri pertanian,” kata salah seorang peminatnya, Ahmed Hassan, mengulas video baru-baru ini.

    Muhamad juga menggunakan platform dalam talian popularnya untuk meningkatkan kesedaran tentang melindungi alam sekitar dan keperluan untuk menyokong petani tempatan, di wilayah asalnya Kurdistan dan seterusnya.

    “Petani negara maju mendapat sokongan kerajaan dan mesin penuaian,” kata Muhamad.

    Azad Muhamad memeriksa hasil tanaman yang segar dan organik di ladangnya berhampiran bandar Kurdish Iraq, Halabja. – AFP
    Azad Muhamad menjadi bintang media sosial dengan berkongsi petua menanam buah-buahan dan sayur-sayuran segar. – AFP

    “Petani kami melakukan segala-galanya dengan hasil penat lelah sendiri dan apabila kehabisan wang pada hujung tahun, mereka memulakan semula dengan semangat dan tenaga yang sama.”

    Dia juga mempunyai mesej untuk pihak berkuasa di Iraq, yang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu klasifikasikan sebagai negara kelima paling terdedah kepada perubahan iklim di dunia dan ramai terpalit kemiskinan walaupun Iraq kaya dengan minyak.

    “Tanah kami subur, dan bumi kami seperti emas. Oleh itu, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pertanian berbanding minyak, untuk ekonomi mampan,” katanya kepada AFP.

    Pulihara alam sekitar

    Dari ladangnya berhampiran Halabja, Muhamad mencangkung antara pokok anggur dan tanaman lain, memakai pakaian tradisional Kurdish dan menggunakan telefon bimbit untuk merakamnya.

    Ramai pengikutnya, bukan petani tetapi orang yang telah mengubah bumbung mereka menjadi taman dan itu cara untuk memulihara alam sekitar dengan lebih baik.

    Dia memberi peluang kepada pengikut Facebooknya untuk mengajukan soalan dan berkata beberapa petani telah menghantar video tanaman mereka dan mengucapkan terima kasih atas bantuannya.

    “Itu membuatkan saya sangat gembira,” katanya.

    Dalam satu video, beliau menasihatkan petani agar menjarakkan pokok mereka dengan jarak hanya dua meter dan bukannya empat meter untuk memastikan tanah rendang dan lembap, melindunginya daripada panas terik musim panas.

    “Dengan penggurunan dan hujan yang rendah, kita mesti mengubah cara kita menanam pokok,” katanya.

    “Lihat tomato ini,” tambahnya sambil menunjukkan sekumpulan tanamannya.

    “Oleh kerana berada di bawah teduhan, tomato itu berair dan sempurna, sedangkan yang berada di bawah sinar matahari langsung terbakar,” ujarnya.

    Wilayah Kurdistan utara Iraq terhindar kesan terburuk penggurunan, kekurangan air dan kemarau yang melanda bahagian lain negara itu.

    “Wilayah ini mempunyai penurunan hujan yang tinggi berbanding kawasan Iraq yang lain,” menurut kajian tahun 2019 yang melibatkan agensi PBB dan kerajaan wilayah Kurdistan yang berautonomi.

    Tetapi laporan itu memberi amaran bahawa ‘pengeluaran pertanian tempatan terlibat dalam persaingan hebat dengan barangan asing yang harganya lebih rendah terutama dari Turki dan Iran, yang membanjiri pasaran Iraq’.

    Laporan itu juga menggesa untuk ‘lebih banyak pelaburan’ bagi menambah baik pengairan, bersama pengurusan air untuk menggalakkan kemampanan, untuk memastikan penggunaan sumber yang cekap dan mengurangkan kesan perubahan iklim.

    Segar dan organik

    Hamid Ismail Abdulrahman, rakan petani di Halabja, berkata paras air yang rendah dalam telaga telah memberi kesan kepada pembangunan pertanian.

    Dua kali seminggu, lelaki berusia 47 tahun itu membuka ladangnya kepada keluarga yang boleh membeli produk segar dan organik, daripada tomato hingga jagung dan terung.

    Beliau berkata perubahan iklim telah banyak menjejaskan pertanian di seluruh Iraq, walaupun ‘sebahagian besar selatan Iraq mengalami kesan ini, di utara impaknya sangat kurang’.

    Iraq sudah pun menyaksikan rekod hujan rendah dan suhu tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Muhamad memberi amaran bahawa ‘jika kerajaan tidak bertindak sekarang dan membentangkan rancangan konkrit… kerosakan akan berlaku’.

    Muhamad baru-baru ini membuka kawasan pendidikan kecil di ladangnya dan kini turut menerima kunjungan pelajar universiti. Beliau berharap inisiatifnya akan memberi kesan jangka panjang. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...