Thursday, May 9, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Sentiasa bersyukur, membesarkan Allah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, bersyukur dengan memuji dan membesarkan Allah SWT adalah merupakan budaya orang-orang Brunei.

    Dalam perutusan titah sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini Baginda menekankan supaya budaya ini hendaklah dikekalkan malah ia mustahak untuk dihayati oleh segenap lapisan.

    Baginda dalam titahnya turut menegaskan, sebagai orang Islam, kita hendaklah berhari raya bukan saja-saja seperti bersuka-ria sebaliknya biarlah menyambut Hari Raya itu disandarkan kepada kejayaan kita dalam menyempurnakan ibadat puasa.

    “Kerana itu, kita dahulukan Hari Raya dengan bertakbir dan bertahmid serta mengerjakan sembahyang sunat Aidilfitri sebagai tanda bersyukur,” titah Baginda.

    “Dalam susah dan senang, kita tidak mahu berenggang dengan Allah SWT tapi mahu untuk selamanya bersama dengan Allah SWT dan jika kita mengadu, mengadulah kepada Allah dan jika memohon, hanya memohon kepada Allah juga,” tekan Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah sempena Hari Raya Aidilfitri, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto

    Baginda seterusnya bertitah, inilah pegangan orang-orang Brunei yang mana pegangan ini hendaklah terus berkekalan.

    Selain itu, Baginda turut menekankan bahawa sudah masuk tiga tahun Negara Brunei Darussalam menghadapi wabak koronavirus namun di sepanjang masa tersebut, kita tetap tidak berganjak dan terus mendekati Allah SWT.

    “Baru-baru ini, umat di negara ini telah menghampirkan diri kepada Allah SWT melalui munajat ‘Berselawat Senegara’ di masjid-masjid iaitu satu-satunya pendekatan unik lagi luar biasa yang julung kalinya pernah diadakan di Negara Brunei Darussalam,” titah Baginda.

    Dalam titahnya, Baginda turut teruja untuk merakamkan penghargaan khasnya kepada mereka yang mengambil bahagian malah kepada semua yang berkenaan dan tidak terkecuali seluruh warga negara yang sama-sama mengumandangkan selawat tersebut di masjid dan di tempat-tempat kediaman sendiri.

    “Kita semua berharap, semoga dengan berkat selawat itu semua hajat yang baik akan dikabulkan oleh Allah SWT dan yakin janji Allah terhadap orang yang berselawat pasti akan dipenuhi, berdasarkan Allah sama sekali tidak memungkiri janjiNya,” titah Baginda lagi.

    Namun jangan pula lupa, titah Baginda, yang rahmat Allah itu hanya akan datang apabila pensyaratan dapat dipenuhi.

    “Apakah pensyaratan itu?, jawabnya ialah firman Allah dalam Surah Al-A’raf ayat 96 yang tafsirnya ‘Sekiranya penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya kami bukakan kepada mereka pintu berkat (rezeki dan rahmat) yang melimpah-limpah dari langit dan bumi.

    “Inilah pensyaratan itu, iaitu iman dan takwa dan semoga kita di Negara Brunei Darussalam ini dapat memenuhi persyaratan tersebut,” titah Baginda lagi.

    Di akhir perutusan bertitah, Baginda dan kerabat Baginda dengan hati yang tulus jernih mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Al-Mubarak kepada semua lapisan rakyat dan pendidik di mana saja mereka berada dan semoga kita semua sama-sama berada dalam sejahtera, sihat ‘afiat dan selamat di bawah naungan dan pemeliharaan Allah SWT.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Hong Kong gagalkan percubaan rompakan

    HONG KONG, 8 MEI - Polis Hong Kong menahan lima lelaki yang cuba merompak sebuah kedai barang kemas, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)...