Monday, May 20, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Empat kapal China didakwa masuk perairan larangan

    TAIPEI, 7 MEI – Taipei menggesa Beijing menghentikan tindakan yang membahayakan keselamatan susulan empat kapal pengawal pantai China belayar melalui perairan ‘terlarang’ Taiwan.

    China yang mendakwa Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, berkata ia tidak akan menolak menggunakan kekerasan untuk membawa pulau itu di bawah kawalan Beijing.

    Pengawal pantai Taiwan dalam satu kenyataan berkata, kapal-kapal China didakwa memasuki perairan selatan pulau terpencil Taiwan, Kinmen, lima kilometer dari bandar Xiamen, China, sekitar 3:30 petang kelmarin.

    Kapal-kapal itu “berlayar keluar dari perairan terlarang dan terhad kami kira-kira sejam kemudian,” kata agensi itu.

    Taiwan menggesa Beijing untuk segera menghentikan tingkah laku yang mem-bahayakan keselamatan pelayaran.

    Gambar menunjukkan sebuah kapal Pengawal Pantai China sedang belayar ke perairan Kinmen. – AFP

    China dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah meningkatkan operasi pesawat dan kapal tentera laut di sekitar pulau itu.

    Insiden kelmarin berlaku dua minggu sebelum pelantikan bakal Presiden Taiwan, Lai Ching-te pada 20 Mei.

    Seperti Presiden Tsai Ing-wen yang akan melepaskan jawatan, Lai menolak tuntutan China ke atas Taiwan.

    Beijing menganggap Lai, yang kini Naib Presiden, sebagai pemisah berbahaya yang akan membawa Taiwan ke arah perang dan kemerosotan.

    Beijing juga berikrar untuk meningkatkan rondaan di sekitar Kinmen, yang ditadbir oleh Taipei, selepas beberapa siri kemalangan maut membabitkan nelayan awal tahun ini.

    Sebuah bot laju China yang membawa empat orang telah terbalik berhampiran Kinmen pada 14 Februari ketika pengawal pantai Taiwan mengejarnya, menyebabkan dua orang maut.

    Sebuah lagi bot China terbalik di kawasan itu pada Mac, turut mengakibatkan kematian dua anak kapal.

    Pengawal pantai Taiwan telah mempertahankan tindakannya, mengatakan bot itu berada dalam perairan larangan dan bersimpang siur sebelum ia terbalik, tetapi Beijing menuduh Taipei menyembunyikan kebenaran mengenai kejadian itu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...