Monday, May 20, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Syarikat pemula Jepun akan guna AI terjemah komik manga

    TOKYO, 7 MEI – Sebuah syarikat pemula Jepun berhasrat mahu menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu menterjemah komik manga ke dalam bahasa Inggeris lima kali lebih pantas dan 90 peratus lebih murah berbanding sekarang, menurut kenyataannya hari ini.

    Manga seperti One Piece dan Dragon Ball merupakan kejayaan besar untuk Jepun, dengan pasaran dijangka bernilai AS$42.2 bilion menjelang 2030, menurut syarikat pemula itu, Orange Inc.

    Tetapi ia berkata bahawa hanya kira-kira dua peratus daripada keluaran tahunan Jepun sebanyak 700,000 jilid manga dikeluarkan dalam bahasa Inggeris, “sebahagiannya disebabkan oleh proses terjemahan yang sukar dan panjang serta bilangan penterjemah yang terhad”.

    Tetapi dengan teknologinya, Orange menyasarkan untuk menghasilkan 500 manga berbahasa Inggeris setiap bulan, lima kali lebih banyak daripada kapasiti semasa industri, dan 50,000 jilid dalam tempoh lima tahun. Bahasa lain akan diusahakan kemudian.

    “Berbanding dengan terjemahan buku, menterjemah bahasa Jepun dalam manga, dengan ayat-ayat perbualan yang sangat pendek selalunya penuh dengan slanga, adalah amat sukar,” kata naib presiden pemasaran Orange, Tatsuhiro Sato.

    “Juga sukar untuk mengetahui sama ada petikan tertentu itu benar-benar disebut pada babak itu, atau dialog itu adalah rungutan di dalam hati seseorang yang menggambarkan landskap mental,” kata Sato kepada AFP.

    Cabaran lain termasuk teks asal yang sering ditulis secara menegak dan mencari persamaan untuk banyak perkataan Jepun bagi menyampaikan bunyi.

    Firma itu mengumumkan bahawa ia telah mengumpulkan AS$19 juta dalam pembiayaan daripada syarikat penerbit utama Shogakukan dan sembilan kumpulan modal usaha niaga termasuk syarikat JIC Venture Growth Investments yang disokong kerajaan.

    Ia berkata bahawa alatnya juga akan membantu industri memerangi cetak rompak dalam industri, yang dianggarkan bernilai AS$5.5 bilion setiap tahun menurut Persatuan Pengedaran Kandungan Luar Negara. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...