PARIS, 29 NOV – Pemain tenis nombor dua dunia, Iga Swiatek, menerima hukuman penggantungan selama sebulan selepas didapati positif mengambil bahan terlarang, menurut pengumuman Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) kelmarin.
Swiatek, 23, diuji positif mengambil ubat jantung trimetazidine (TMZ) dalam sampel ujian luar pertandingan pada Ogos 2024 ketika pemain Poland itu menduduki tangga pertama dunia. Bagaimanapun, ITIA mengesahkan keputusan itu berpunca daripada ‘pencemaran dalam ubat terkawal tanpa preskripsi (melatonin), yang dihasilkan dan dijual di Poland dan diambil oleh pemain untuk mengatasi masalah jet lag dan tidur.’
“Pelanggaran itu tidak disengajakan, tahap kesalahan pemain dianggap berada pada tahap paling rendah dalam kategori ‘tiada kesalahan atau kecuaian yang ketara’,” kata ITIA.
Juara bertahan Terbuka Perancis itu, yang memiliki lima gelaran Grand Slam perseorangan wanita iaitu empat di Roland Garros dan satu di Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2022, menerima penggantungan berkenaan.
“Saya akhirnya dibenarkan untuk bercakap, jadi saya ingin segera berkongsi dengan awda semua tentang pengalaman terburuk dalam hidup saya,” kata Swiatek dengan penuh emosi dalam satu hantaran di media sosial.
“Dalam dua setengah bulan terakhir, saya telah menjalani prosedur ketat dari ITIA, yang mengesahkan saya tidak bersalah.
“Satu-satunya ujian doping positif dalam karier saya, yang menunjukkan tahap bahan larangan sangat rendah yang saya tidak pernah dengar sebelumnya, menyebabkan segala yang telah saya usahakan sepanjang hidup saya mencetuskan persoalan.
“Saya dan pasukan saya terpaksa menghadapi tekanan dan kebimbangan yang amat besar. Kini segala-galanya telah dijelaskan dengan teliti, dan dengan bab bersih, saya boleh kembali kepada apa yang paling saya cintai.” – AFP