Tuesday, May 7, 2024
24 C
Brunei

    -

    Amalkan budaya jaga keselamatan, kesihatan tempat kerja

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Allah menciptakan siang dan malam secara silih berganti untuk makhluk-Nya supaya dapat beristirahat pada waktu malam dan seterusnya pada waktu siang pula untuk mengurus kehidupan bekerja dan berusaha mencari rezeki bagi menyara kehidupan diri dan tanggungan.

    Allah telah menjamin dan menetapkan rezeki setiap makhluk di muka bumi ini, tapi ia perlu disertakan dengan usaha dan ikhtiar, bukan hanya dengan menunggu, enggan bekerja dan berusaha semata-mata bertawakal kepada Allah.

    Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini, turut mengingatkan bahawa untuk mendapatkan setiap rezeki dan kejayaan itu hendaklah diusahakan, ia tidak akan datang bergolek sendiri tanpa ada sebarang usaha dan kesungguhan, di samping itu, perlu juga disertai dengan berdoa dan tawakal kepada Allah.

    Secara umumnya, jelas khatib, sebilangan besar daripada masa seharian adalah berada di tempat kerja di mana secara langsung ataupun tidak, kita adalah terdedah kepada pelbagai risiko yang membahayakan.

    Dalam pekerjaan seharian, hendaklah bekerja dengan cara yang selamat dan sihat, di mana ini adalah bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW, agar kita menjauhi daripada sebarang bentuk kemudaratan atau memudaratkan orang lain.

    Gambar Freepik

    Oleh yang demikian, berdasarkan seruan agama Islam, sentiasalah mengamalkan budaya menjaga keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, selain mengamalkan sikap berhati-hati semasa menjalankan tugas.

    “Jangan pula disebabkan oleh kelalaian dan kecuaian, ia akan mengakibatkan kemalangan pada diri sendiri dan juga kepada orang lain, apatah lagi kemalangan yang menyebabkan kehilangan nyawa”.

    Sehubungan itu, khatib menyeru untuk mempertingkatkan usaha dengan langkah keselamatan dan berwaspada dalam melakukan pekerjaan seharian.

    Khatib dalam khutbahnya turut menyentuh mengenai Perintah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2009 yang telah memperuntukkan kewajipan kepada setiap majikan untuk mengambil langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja serta peruntukan tanggungjawab kepada pekerja.

    “Ke arah itu, sama-sama kita berusaha dan membudayakan cara bekerja dengan selamat dan sihat, di samping berdoa semoga usaha dan pekerjaan yang dilakukan akan dikurniakan rezeki yang halal lagi baik, mendapat ganjaran daripada Allah dan terhindar daripada memperoleh hasil pendapatan yang tidak halal,” seru khatib.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...