Thursday, May 9, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Australia usaha baiki hubungan dengan China

    BEIJING, 11 MEI – Menteri Perdagangan dan Pelancongan Australia, Don Farrell melawat China hari ini sebagai sebahagian daripada usaha bersama untuk membaiki hubungan yang terjejas akibat keretakan politik sejak sedekad lalu.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya, Farrell berkata beliau akan memperjuangkan untuk meneruskan sepenuhnya eksport Australia tanpa halangan ke China.

    China ialah rakan dagangan terbesar Australia, dengan pertukaran dua hala berjumlah AS$287 bilion pada 2022. China baru-baru ini menyambung semula import batu arang, kapas dan tembaga dari Australia selepas sekatan perdagangan yang tidak diumumkan secara berpanjangan.

    Farrell berkata beliau akan mendesak untuk mengkaji semula tarif ke atas barli Australia dan mewakili kepentingan pengeksport dan pengeluar Australia.

    China menyekat eksport sedemikian sebagai tindakan balas terhadap tindakan kerajaan yang menyasarkan campur tangan Beijing yang didakwa dalam pilihan raya Australia, kehidupan sivik dan komuniti besar Australia-Cina.

    Don Farrell semasa ditemu bual di Bangunan Parlimen di Canberra, Australia, pada 16 Februari. – AP

    Walaupun hubungan ekonomi bertambah baik, hubungan antara kedua-duanya kekal tegang.

    Pada April, Menteri Luar Australia, Penny Wong berkata hubungan dua hala tidak mungkin kembali ke tahap awal 2000an, apabila perdagangan dipisahkan daripada keutamaan politik dan strategik.

    Sejak itu, Australia telah meluaskan kerjasama keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS), saingan utama China untuk pengaruh di rantau Asia-Pasifik.

    Beijing telah mengkritik keras penyertaan Australia dalam apa yang dipanggil perkongsian AUKUS, menghubungkannya dengan AS dan Britain untuk mewujudkan armada lapan kapal selam Australia yang dikuasakan oleh teknologi nuklear AS, sebahagian besarnya sebagai tindak balas terhadap ketegasan ketenteraan China yang semakin meningkat di Laut China Selatan, Pasifik Selatan dan Laut China Timur. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...