Monday, May 20, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Individu dikompaun $100 melonggokkan sampah

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Belait pada hari ini telah mendapati satu aktiviti kerja-kerja pemotongan rumput di kawasan bangunan Jabatan Daerah Belait, yang mana semasa operasi unit itu telahpun mengeluarkan satu denda kompaun berjumlah $100.00 kepada seorang individu kerana telah menyalahi di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian, 2021 (Penggal 30), Bab 12 (1) (a) iaitu meletak, melonggok atau mencampakkan sebarang debu, habuk, abu, bangkai binatang, sampah, kotak, tong, karung atau barang lain di sebarang tempat awam.

    Individu terbabit telahpun menjelaskan denda kompaun sebanyak $100.00 dan jika gagal menjelaskan pembayaran, individu berkenaan boleh didakwa ke mahkamah.

    Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Belait sekali lagi memberi peringatan bagi kesalahan-kesalahan berkaitan dengan pembuangan sampah di tempat awam.

    Mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah bab tersebut, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang dari $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Manakala badan-badan korporat yang melakukan kesalahan pertama di bawah bab tersebut boleh dikenakan hukuman  denda tidak kurang dari $2,000 dan tidak melebihi $10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang dari $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Operasi berkenaan bertujuan bagi memastikan kebersihan persekitaran agar lebih terjaga dan mana-mana individu atau syarikat yang melakukan pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang telah disediakan.

    Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Belait sentiasa memberi peringatan kepada mana-mana individu ataupun badan-badan korporat agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa di Negara ini bagi sama-sama menjaga kebersihan kawasan dan alam sekitar dengan membuang bahan-bahan buangan di kawasan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan Negara Brunei Darussalam.

    Sebarang aduan bolehlah menghubungi di talian 3334335 ext/sambungan 1404 atau 1153 (Unit Penguatkuasaan).

    Seorang individu telah melakukan kesalahan kerana melonggokkan sampah di kawasan bangunan Jabatan Daerah Belait, dan telah dikenakan denda kompaun $100.00. – Gambar serahan Jabatan Daerah Belait
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...