Monday, May 20, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Muhammad Iqbaal Syakib juara pidato

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Awang Muhammad Iqbaal Syakib bin Haji Suhib telah diumumkan sebagai juara Pertandingan Pidato Kebangsaan Brunei Darussalam 2024 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 dan Bulan Bahasa 2023, yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.

    Selaku juara, Awang Muhammad Iqbaal Syakib yang merupakan peserta persendirian membawa pulang wang tunai $800 berserta piala, manakala itu, naib johan dimenangi oleh Dayang Nurkhairah Afiqah binti Metamit dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang memenangi wang tunai $600 dan tempat ketiga dimenangi oleh Awang Muhd Syahir Aqil bin Haji Muhd Saiful Nurrizam dari Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) yang menerima $400.

    Tempat keempat dan kelima masing-masing menerima wang tunai $200 dengan setiap pemenang turut menerima plak (pemenang kedua hingga kelima), sijil penghargaan dan buku-buku terbitan DBP.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.

    Menurut kenyataan yang diberikan, antara objektif pertandingan adalah bagi menggemakan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 dan Bulan Bahasa 2023, menimbulkan rasa kecintaan dan semangat patriotisme terhadap negara, dan mengetengahkan peserta tempatan hingga ke peringkat antarabangsa dan luar negara.

    Pertandingan telah menerima sambutan menggalakkan 20 penyertaan pada peringkat saringan namun hanya lima orang peserta layak mara ke peringkat akhir.

    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Awang Muhammad Iqbaal Syakib telah diumumkan sebagai juara Pertandingan Pidato Kebangsaan Brunei Darussalam 2024. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...