Friday, May 3, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    Bekas PM Jepun maut ditembak

    KASHIHARA, JEPUN, 8 JULAI – Bekas perdana menteri Jepun, Shinzo Abe, 67, telah dibunuh hari ini oleh lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan pada jarak dekat semasa ahli politik berpengaruh itu menyampaikan ucapan pada acara kempen.

    Kes pembunuhan pemimpin yang lama berkhidmat di Jepun itu telah mengejutkan seluruh negara berkenaan dan mengundang kecaman dan kesedihan antarabangsa.

    Abe telah ditembak sebelum tengah hari semasa berkempen di barat rantau Nara menjelang pilihan raya parlimen pada hujung minggu.

    Beliau diterbangkan menggunakan helikopter ke hospital Universiti Perubatan Nara di mana beliau telah diumumkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

    “Shinzo Abe telah dipindahkan ke hospital pada jam 12:20 tengah hari. Jantungnya terhenti sejurus tiba,” kata Hidetada Fukushima, profesor dari unit perubatan kecemasan di hospital tersebut.

    Bekas perdana menteri, Shinzo Abe ketika berucap pada kempen di Yokohama, Tokyo pada 6 Julai. – AFP
    Imej yang diambil daripada akhbar Asahi Shimbun menunjukkan seorang lelaki (tengah) telah diberkas oleh polis di Stesen Yamato Saidaiji, Nara kerana disyaki menembak bekas perdana menteri Shinzo Abe pada 8 Julai. – AFP

    “Meskipun pelbagai usaha dilakukan, malangnya, beliau meninggal dunia pada jam 5:03 petang,” ujarnya lagi.

    Fukushima berkata Abe telah mengalami dua luka akibat tembakan di leher dan meninggal dunia kerana kehilangan banyak darah, meskipun sudah menjalani banyak transfusi darah.

    Perdana Menteri, Fumio Kishida yang kelihatan emosi memberitahu wartawan yang dia ‘tidak mampu berkata-kata’ selepas kematian Abe disahkan.

    Beliau yang meninggalkan kempen lebih awal dan terbang ke Tokyo menggunakan helikopter dengan suara yang sebak, mengecam ‘perbuatan kejam semasa kempen pilihan raya itu, yang merupakan asas demokrasi’.

    “Ia sangat-sangat tidak dapat dimaafkan. Saya mengecam keras tindakan ini,” katanya.

    Serangan itu berlaku ketika Abe menyampaikan ucapan dengan kehadiran pasukan keselamatan, namun mereka yang hadir dapat mendekatinya dengan mudah.

    Rakaman yang disiarkan oleh NHK menunjukkan beliau berdiri di atas pentas, apabila seorang lelaki berpakaian baju kelabu dan seluar perang mendekatinya dari belakang, sebelum mengeluarkan senjata dari beg dan melepaskan tembakan.

    Kira-kira dua tembakan telah dilepaskan, kedua-duanya mengeluarkan kepulan asap.
    Ketika pengunjung yang hadir dan para wartawan menundukkan kepala, seorang lelaki telah ditumpaskan oleh pasukan keselamatan dan diberkas.

    Media tempatan mengenal pasti lelaki itu sebagai Tetsuya Yamagami berusia 41 tahun, memetik sumber polis, dengan beberapa cawangan media menggambarkannya sebagai bekas anggota pasukan tentera maritim.

    Dia mengacukan senjata yang digambarkan media tempatan sebagai ‘senjata buatan sendiri’ dan NHK mengatakan dia memberitahu polis selepas penangkapannya bahawa dia ‘menyasarkan Abe dengan niat untuk membunuhnya’.

    Saksi-saksi di tempat kejadian mengatakan terkejut apabila acara politik bertukar menjadi huru-hara.

    “Tembakan pertama berbunyi seperti bazuka mainan. Beliau tidak jatuh, kemudian terdengar dentuman kedua. Tembakan kedua lebih jelas, awda dapat melihat percikan api dan asap,” kata seorang wanita kepada NHK.

    Abe, Perdana Menteri Jepun paling lama berkhidmat dengan memegang jawatan itu bermula 2006 selama setahun sebelum sekali lagi dipilih pada dari 2012 hingga 2020, namun terpaksa berundur kerana mengalami masalah kesihatan berkaitan usus. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...