Tuesday, May 7, 2024
25.6 C
Brunei

    -

    Benzema sasar anugerah Ballon d’Or

    ISTANBUL, 26 OGOS – Bagi Karim Benzema anugerah pemain terbaik tahunan UEFA tidak akan menjadi anugerah terakhir yang dirangkulnya selepas pemain itu memegang peranan penting dalam kejayaan Real Madrid di Liga Juara-Juara musim lalu.

    Ballon d’Or pasti akan menyusul pada Oktober, sebelum dia menuju ke Piala Dunia di Qatar bersama pasukan kebangsaan Perancis pada November dan Disember dengan sasaran untuk melengkapkan karier yang gemilang.

    Tidak lama dahulu, Benzema yang akan menyambut ulang tahun ke-35 selepas final Piala Dunia pada Disember, disisihkan dalam pasukan Perancis selama lima tahun setengah kerana terlibat dalam skandal peras ugut melibatkan bekas rakan sepasukannya, Mathieu Valbuena.

    Pemain dari produk akademi Lyon itu dibicarakan tahun lalu dan dijatuhkan hukuman penjara selama setahun yang digantungkan dan denda berjumlah 75,000 euro.

    Pada Jun, dia memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap pertuduhan, lebih berminat untuk melupakan perkara itu dan kekal fokus kepada bola sepak.

    Benzema menjaringkan 44 gol dalam 46 perlawanan untuk Real musim lalu, termasuk 27 di La Liga ketika dia mengakhiri kempen sebagai penjaring terbanyak di liga utama Sepanyol.

    Tetapi prestasi terbaiknya hadir semasa dia beraksi di Liga Juara-Juara, di mana dia mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 15 gol daripada 12 perlawanan.

    Benzema menjaringkan lima gol di peringkat kumpulan untuk pasukan Carlo Ancelotti, tetapi aksi terbaiknya hadir di pusingan kalah mati.

    Dia berjaya mencatat hatrik mengagumkan dalam masa 17 minit pada separuh masa kedua pada aksi 16 terakhir di mana mereka berjaya bangkit untuk menundukkan Paris Saint-Germain, dan satu lagi aksi semasa bermain di gelanggang lawan menentang Chelsea di peringkat suku akhir pusingan pertama.– AFP

    Reaksi Karim Benzema bergambar dengan trofi Anugerah Pemain Terbaik Tahunan UEFA di Istanbul, 25 Ogos. – AP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...