Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Bil tenaga UK cecah 80 peratus setahun

    LONDON, 26 OGOS – Britain akan menyaksikan krisis kos sara hidup yang semakin meruncing dengan berjuta-juta rakyat akan membayar lebih daripada 80 peratus setahun untuk bil tenaga isi rumah bermula Oktober depan.

    Pengawal selia tenaga United Kingdom (UK) hari ini mengumumkan had harga terkini, iaitu jumlah maksimum yang boleh dicaj oleh pembekal gas kepada pelanggan setiap unit tenaga. Ini bermakna orang ramai akan membayar AS$4,188 setahun untuk pemanasan dan elektrik.

    Rakyat dan penduduk sudah bergelut untuk menampung perbelanjaan apabila inflasi melonjak kepada 10.1 peratus pada bulan lepas iaitu yang tertinggi dalam tempoh 40 tahun dan kos tenaga serta makanan yang melambung tinggi akan menyukarkan golongan termiskin di negara itu.

    Kerajaan telah digesa untuk menawarkan pelbagai bantuan secara meluas bagi mengurangkan kesan inflasi tetapi tiada langkah baharu diumumkan berikutan Parti Konservatif dalam proses memilih perdana menteri baharu bagi menggantikan Boris Johnson.

    Bil tenaga tahunan untuk purata isi rumah yang membayar secara terus melalui debit telah mencatatkan peningkatan sebanyak 54 peratus setakat tahun ini.

    Bil telah dihadkan pada 1,971 pound setahun, berbanding kira-kira 1,200 pound pada musim sejuk lalu. Di bawah semakan had harga yang diumumkan hari ini, purata bil tenaga isi rumah akan melonjak kepada 3,549 pound setahun mulai 1 Oktober depan.

    Kadar tersebut akan terus meningkat lebih tinggi apabila kadar harga dikemas kini semula pada bulan Januari tahun depan yang dijangka melebihi 4,000 pound.

    Bank Amerika Syarikat (AS), Citi, meramalkan kenaikan kos tenaga yang besar boleh menyebabkan kadar inflasi terus melonjak naik kepada 18 peratus tahun depan.

    Bank of England meramalkan kemelesetan ekonomi akan bermula akhir tahun ini.

    Badan pertubuhan kebajikan dan pemimpin kesihatan awam memberi amaran bahawa kadar bil yang melambung tinggi akan menjadi ‘malapetaka’ bagi golongan miskin pada musim sejuk, ketika ramai yang terpaksa membuat pilihan mustahil iaitu sama ada memanaskan kediaman mereka atau menyedian makanan.

    Harga minyak dan gas global meningkat secara mendadak sejak tahun lalu apabila ekonomi di seluruh dunia pulih daripada wabak koronavirus dan permintaan untuk tenaga kian meningkat. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...