Tuesday, April 30, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Gabriel Jesus wira kemenangan Arsenal

    LONDON, 14 OGOS – Gabriel Jesus tidak menunggu lama untuk mencipta nama di Stadium Emirates.

    Penyerang kelahiran Brazil itu membuat penampilan sulungnya untuk Arsenal dengan meledak dua gol dan dua assist dalam kemenangan 4-2 menentang Leicester di Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

    Namun dia masih belum berpuas hati dengan persembahannya.

    “Dia sangat kecewa semasa berada di bilik persalinan kerana dia mampu menjaringkan empat gol,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

    Jesus, 25, yang menyertai pasukan dari Manchester City sebagai pembelian utama Arsenal setakat ini, membuka jaringan untuk The Gunners pada minit ke-23 melalui percubaan lencong menarik. Dia menambah jaringan pada minit ke-35 melalui tandukan dan meraih beberapa peluang untuk mencipta hatrik.

    Reaksi Gabriel Jesus meraikan gol bersama rakan sepasukan semasa pertemuan menentang Leicester di Liga Perdana Inggeris, kelmarin. – AP

    Leicester cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan, namun Arsenal segera membolosi gawang lawan.

    Pasukan pelawat berjaya menjadikan kedudukan 2-1 menerusi jaringan sendiri William Saliba pada minit ke-53, tetapi pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka kembali meletakkan pasukan dengan kelebihan dua gol selang dua minit kemudian.

    Xhaka meledak gol selepas Jesus membuat hantaran apabila penjaga gol Leicester, Danny Ward gagal menangkap bola dengan kemas dan berlanggar dengan pemain pertahanan Wesley Fofana.

    Pemain tengah Leicester, James Maddison menjadikan kedudukan 3-2 pada minit ke-74 apabila percubaan rendahnya berjaya membolosi penjaga gawang, Aaron Ramsdale.

    Namun pasukan Arsenal tidak panik seperti musim kebelakangan. Jesus berlari ke hadapan seminit kemudian dan menghantar bola kepada Gabriel Martinelli, yang membuat rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti untuk menewaskan Ward dan menjadikan kedudukan 4-2.

    “Perlawanan yang mempunyai pasang surut buat kami hari ini,” kata pengurus Leicester, Brendan Rodgers.

    “Ada ketikanya kami bermain dengan baik. Tetapi semasa saat penting perlawanan, kami melakukan kesilapan.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun nafi akan berundur atas kekalahan partinya dalam pilihan raya...

    TOKYO, 30 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata pada hari ini kekalahan besar parti pemerintahnya dalam pilihan raya kecil hujung minggu lalu...