HANOI, 1 JUN – Menutup seluruh anggoota dari kepala hingga ke kaki untuk melindungi dirinya daripada panas matahari, Vu Thi Phoung menolak troli dagangannya di sekitar Hanoi di bawah terik matahari.
Ribuan peniaga jalanan, yang kebanyakannya wanita di Hanoi tidak mempunyai pilihan selain menempuh gelombang panas yang melanda utara Vietnam sejak beberapa minggu kebelakangan.
Pakar saintis berkata pemanasan global telah memburukkan lagi keadaan cuaca, dan Vietnam adalah salah satu daripada banyak negara di seluruh selatan Asia dan Asia Tenggara yang mengalami rekod suhu sejak beberapa minggu lalu.
“Kadangkala saya rasa hendak pengsan di tengah-tengah jalan. Sekiranya ramalan cuaca 38 darjah Celsius, suhu di jalanan terasa lebih tinggi lagi,” kata Phuong, yang peluh mengalir turun dari hidungnya.
Pada awal Mei lalu, Vietnam melaporkan suhu paling tinggi, iaitu 44.1 darjah Celsius, menyebabkan pegawai kesihatan mengeluarkan amaran untuk mengelak daripada terlalu terdedah kepada cuaca panas.
Ketika suhu mencecah 38 darjah Celsius hari ini, kawasan lama Hanoi – kebiasaannya sibuk dengan motosikal, pelancong dan penjual mi – dilihat tenang.
Tetapi bagi peniaga seperti Phuong, yang memperoleh sumber pendapatan mereka di jalanan, nasihat yang dikeluarkan itu sangat sukar untuk dipatuhi.
“Saya berehat selama lima minit, dan kemudian saya akan meneruskannya lagi,” kata Phuong.
“Bukan mudah untuk menolak troli di bawah terik panas tetapi saya akan cuba melakukan sebaik mungkin.”
Sementara itu, Nguyen Thi Vinh, 60, mengadu pendapatannya berkurangan.
“Tidak banyak pelanggan semasa cuaca panas kerana orang ramai tidak mahu keluar rumah,” katanya. – AFP