Thursday, May 9, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Jepun pastikan alam sekitar, makanan laut selamat

    KUALA LUMPUR, 17 MAC – Jepun akan terus memastikan usaha pelepasan air dirawat dalam Sistem Pemproses Cecair Lanjutan (ALPS) daripada Loji Nuklear Fukushima Daiichi (FDNPS) tidak memberi kesan negatif terhadap alam sekitar serta makanan laut negara itu yang turut dieksport.

    Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Jepun di Malaysia, Yosuke Kurotani, berkata Jepun juga akan terus memantau isu berkaitan keselamatan berkenaan di negara ini.

    “Malaysia adalah destinasi keempat terbesar eksport makanan laut Jepun di pasaran Asean sebagaimana berdasarkan data rasmi kerajaan.

    “Oleh itu, Malaysia sememangnya destinasi penting bagi (pasaran) makanan laut Jepun,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

    Kurotani juga menegaskan menerusi penglibatan berterusan pihak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Jepun akan memastikan air dirawat dilepaskan daripada FDNPS yang dilanda tsunami sebelum ini, tidak memberi kesan terhadap kesihatan manusia, alam sekitar dan makanan laut.

    “Kami akan terus memberi penjelasan saintifik serta telus, baik di Jepun mahu pun di peringkat antarabangsa,” katanya.

    Pada Januari lepas, IAEA mengeluarkan kenyataan pelepasan air dirawat ALPS ke dalam laut di loji berkenaan adalah selaras dengan piawaian keselamatan antarabangsa.

    Pengendali FDNPS, Tokyo Electric Power Company Holdings Inc (TEPCO) di laman webnya telah memaklumkan mengenai pelepasan air radioaktif dirawat yang bermula pada 24 Ogos, 2023 dan seterusnya kumpulan keempat ke dalam laut pada 28 Februari, 2024.

    Bagi tahun fiskal bermula April ini, TEPCO merancang untuk melepaskan kira-kira 54,600 meter padu air dirawat ALPS ke dalam laut.

    Sehubungan itu, TEPCO berkata pihaknya akan memastikan pelepasan air berkenaan mematuhi semua peraturan dan undang-undang domestik ditetapkan mengikut saranan Suruhanjaya Antarabangsa mengenai Perlindungan Radiologi (ICRP). – Bernama

    Gambar bertarikh 17 Mac menunjukkan Kurotani semasa temu bual dengan Bernama baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Albanese tolak hujah China dakwa Australia bersalah

    MELBOURNE, 8 MEI - Perdana Menteri Australia Anthony Albanese hari ini menolak hujah China bahawa Australia bertanggungjawab atas pertemuan berbahaya pada hujung minggu antara...