Friday, May 3, 2024
29.8 C
Brunei

    -

    Jokowi gesa henti ketegangan

    JAKARTA, 17 FEB – Presiden Indonesia Joko Widodo menggesa semua negara supaya menghentikan ketegangan seperti yang berlaku di Ukraine, yang mengganggu pemulihan ekonomi dunia akibat pandemik COVID-19 yang belum berakhir.

    Joko Widodo, yang dikenali sebagai Jokowi, sebaliknya menyarankan agar semua negara menumpukan sinergi untuk bekerjasama menyelamatkan dunia agar segera bangkit dan pulih semula.

    “Dalam situasi yang seperti ini bukan saatnya untuk bersaing, bukan saatnya untuk membuat ketegangan baru yang mengganggu pemulihan dunia.

    “Apa lagi yang membahayakan keselamatan dunia, sebagaimana yang terjadi di Ukraine saat ini,” katanya pada mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat Negara G20, hari ini.

    Sejak beberapa bulan lalu, Barat dan Ukraine menuduh Rusia menempatkan anggota tenteranya berhampiran sempadan Ukraine sebagai persediaan untuk “menyerang”.

    Imej Presiden Jokowi dalam paparan skrin semasa pembukaan mesyuarat menteri-menteri kewangan G20 di Jakarta pada 17 Februari. – AFP

    Moscow menafikan tuduhan itu berulang kali dan berkata pihaknya tidak mengancam sesiapa dan kehadiran tenteranya itu adalah untuk tujuan latihan.

    Selain itu, Moscow turut menyatakan kebimbangan terhadap aktiviti ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhampiran sempadan negaranya, yang dianggap menggugat keselamatan Rusia.

    “Kebangkitan sesuatu kawasan akan membangkitkan suatu kawasan yang lainnya.

    “Sebaliknya keruntuhan sesuatu kawasan akan ikut meruntuhkan kawasan yang lainnya,” kata Jokowi.

    Menurut beliau, semua negara harus bekerjasama menangani trend kenaikan kadar inflasi global dan harga makanan, mengatasi kekurangan kontainer dan rantaian logistik serta mencegah terjadinya kelaparan.

    Hal lain termasuk mempercepat proses transisi menuju ekonomi hijau, transformasi digital dan menyokong kebangkitan perusahaan kecil dan sederhana serta memantapkan ‘kerangka kesihatan global’.

    Indonesia adalah tuan rumah dan Pengerusi G20 bagi tempoh 2022. G20 merupakan forum kerjasama pelbagai hala yang terdiri daripada 19 negara utama dan Kesatuan Eropah.

    Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah meramalkan pertumbuhan ekonomi dunia akan perlahan kepada 4.4 peratus pada 2022 dari 5.9 peratus pada 2021, susulan penguncupan 3.3 peratus pada tahun 2020. – Bernama/AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...