Tuesday, April 30, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Kad warga asing diwujudkan di Sabah

    PUTRAJAYA, 10 FEB – Kad warga asing bakal diwujudkan sebagai dokumen pengenalan diri untuk warga asing yang tinggal lama di Sabah termasuk kanak-kanak, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Menyifatkan cadangan yang dikemukakan oleh  kerajaan Sabah sebagai baik, Hamzah berkata kad warga asing itu membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti bilangan serta keberadaan warga asing di Sabah.

    “Masalah di Sabah begitu sulit. Mereka (warga asing) ini telah tinggal lama contohnya generasi kedua atau ketiga dan kita tahu mereka ini warga asing dan tiada dokumen langsung. 

    “Oleh itu, kita ingin selaraskan dan kita beri kad warga asing. Apa yang penting adalah keberadaan sesiapa sahaja dalam negara ini, (mereka) perlu mempunyai dokumen dan identiti kita tahu mereka adalah warga asing,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah (JKPWAS-INDUK) Bilangan 1 Tahun 2022 bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, di sini hari ini.

    Ditanya jumlah warga asing yang akan diberikan kad berkenaan, Hamzah berkata pendataan akan dilaksanakan bagi mengenal pasti jumlah warga asing yang ada di
    Sabah.

    “Kad warga asing mungkin dapat dalam masa tiga bulan lagi. Kita berikan adalah kad warga asing bukan kad warganegara… jelas tertera dia warga asing di kad tersebut,” katanya.

    Beliau berkata apabila mereka dikenal pasti sebagai warga asing, mereka mungkin boleh digunakan sebagai tenaga kerja dan diberikan kad pekerja.

    “Kita lakukan ini bermaksud ada sikap perikemanusiaan dan mereka juga warga dunia, sebagai warga dunia kita harus memberi mereka pengenalan,” katanya. – Bernama

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk) di Kementerian Dalam Negeri semalam. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun nafi akan berundur atas kekalahan partinya dalam pilihan raya...

    TOKYO, 30 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata pada hari ini kekalahan besar parti pemerintahnya dalam pilihan raya kecil hujung minggu lalu...