Tuesday, May 7, 2024
24 C
Brunei

    -

    Kadar kematian pesakit lebih tinggi tanpa vaksin

    KUALA LUMPUR, 20 FEB – Kadar kematian pesakit COVID-19 dalam kalangan mereka yang tidak mengambil vaksin adalah jauh lebih tinggi berbanding mereka yang mengambil vaksin lengkap dan mendapat dos penggalak.

    Menurut data Kematian per (bagi setiap) 100,000 Populasi mengikut Status Vaksinasi bagi 1 Januari hingga semalam yang dikongsi oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin di Twitternya, menunjukkan kadar kematian dalam kalangan pesakit berumur antara 40 hingga 49 tahun yang tidak divaksin adalah sebanyak 92.09 bagi setiap 100,000 penduduk.

    Kadar itu jauh lebih tinggi berbanding kadar kematian 3.08 kematian bagi pesakit yang lengkap vaksin dan 3.18 kematian bagi kalangan pesakit yang mengambil dos penggalak bagi kategori usia yang sama.

    Bagi pesakit berusia 80 tahun ke atas, kadar kematian ialah 167.06 dalam kalangan yang tidak mengambil vaksin, berbanding 119.34 kematian yang mempunyai vaksin lengkap dan 42.00 kematian bagi pesakit yang mendapat dos penggalak.

    Menurut data itu lagi, kadar kematian bagi pesakit berumur 18 hingga 29 tahun yang tidak mengambil vaksin ialah 8.14 berbanding 0.98 bagi penerima vaksin lengkap dan 0 bagi pesakit yang mengambil dos penggalak.

    Bagi kumpulan pesakit berusia 30 hingga 39 tahun, data tersebut menunjukkan kadar kematian adalah 14.00 bagi setiap 100,000 penduduk berbanding 1.90 kematian bagi yang menerima vaksin lengkap manakala 4.18 kematian bagi pesakit yang mengambil dos penggalak.

    Data itu menunjukkan kadar kematian sebanyak 49.46 bagi setiap 100,000 penduduk dalam kalangan pesakit yang tidak mengambil vaksin, 6.62 kematian dalam kalangan lengkap vaksin dan 4.41 kematian bagi yang mengambil dos penggalak bagi kumpulan pesakit berusia 50 hingga 59 tahun. – Bernama

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media status terkini kes penularan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini. Khairy menjelaskan bahawa kadar kematian pesakit COVID-19 dalam kalangan mereka yang tidak mengambil vaksin adalah jauh lebih tinggi berbanding mereka yang mengambil vaksin lengkap dan mendapat dos penggalak. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...