Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    3 individu terima padah pecah rumah, curi

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Seorang pengawal keselamatan telah didakwa mencuri bersama teman wanita dan seorang rakannya, di sebuah kediaman kedutaan selama lima hari pada bulan Oktober 2021.

    Ketiga-tiga mereka didakwa secara berasingan bagi mengikut protokol COVID-19.

    Dalam prosiding berasingan yang dikendalikan oleh Mahkamah Perantaraan, hukuman telah dijatuhkan kepada ketiga-tiga mereka yang mana kes tersebut berakhir pada Januari lalu.

    Pengawal Keselamatan, Muhammad Hadi Khairi Syazwan bin Mohd Khairul Ariffin mengaku bersalah melakukan kesalahan curi, pecah masuk rumah pada waktu malam untuk mencuri, melakukan khianat, menceroboh rumah untuk mencuri dan bersubahat dalam perbuatan jenayah rakannya.

    Dia dijatuhkan hukuman penjara enam tahun berserta tiga kali sebatan.

    Teman wanita Muhammad Hadi, Nordalilah binti Karim mengaku bersalah memecah masuk rumah pada waktu malam untuk mencuri dan menceroboh rumah bagi mencuri, di mana dia menerima hukuman penjara selama empat tahun enam bulan.

    Rakan Muhammad Hadi, Muhammad Dzulfadli bin Kafli mengaku bersalah atas kesalahan menceroboh rumah untuk mencuri dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fitri binti Kiprawi mendedahkan bahawa Muhammad Hadi adalah seorang pengawal keselamatan yang ditempatkan di sebuah kediaman kedutaan dan ditugaskan untuk menjalankan pengawasan di perkarangan dan persekitaran kediaman tersebut.

    Dia juga ditugaskan untuk mengawasi kediaman itu, namun hanya melalui kamera CCTV yang boleh dipantau dari pos keselamatan di luar rumah. Duta besar telah kembali ke negara asalnya pada 1 Oktober 2021, meninggalkan rumah itu tanpa penghuni.

    Melihat peluang itu, Muhammad Hadi mengambil keputusan untuk memecah masuk rumah dan mencuri harta benda.

    Pada mulanya, defendan ditemani bekerja di posnya oleh Nordalilah apabila mereka memutuskan untuk memecah masuk rumah dan mencuri barang.

    Pada waktu berasingan dalam minggu yang sama, Muhammad Hadi meminta Muhammad Dzulfadli menyertainya untuk mencuri barangan dari kediaman yang sama.

    Ketiga-tiga mereka berjaya mencuri barangan hiasan, elektronik, barangan bersalut emas dan barangan berharga lain.

    Muhammad Hadi turut merosakkan sistem CCTV di kediaman itu yang bernilai hampir $25,000, sepanjang pencurian dilakukan.

    Insiden itu berlaku dari 22 hingga 26 Oktober 2021.

    Perbuatan jenayah Muhammad Hadi telah dikecam oleh mahkamah dengan mengatakan bahawa dia telah mengabaikan prinsipnya dan menyalahgunakan kedudukannya, yang seharusnya melindungi kediaman dan harta benda di dalamnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...