Friday, May 3, 2024
29.8 C
Brunei

    -

    Keberangkatan Negara ke Bahrain 9 Jun ini

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat mengadakan Keberangkatan Negara ke Kingdom of Bahrain pada 9 hingga 11 Jun ini.

    Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini adalah atas jemputan Raja Bahrain, His Majesty King Hamad bin Isa Al Khalifa.

    Semasa keberangkatan itu, Baginda Sultan antara lainnya, dijangka akan mengadakan perjumpaan bersama His Majesty King Hamad bin Isa Al Khalifa, bagi membincangkan perkara-perkara yang berkepentingan bersama ke arah mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dua hala sebelum menyaksikan majlis penandatanganan beberapa dokumen antara kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Bahrain.

    Keberangkatan Baginda ke Bahrain mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh antara Brunei dan Bahrain, yang mana pada tahun ini menandakan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara sejak tertubuhnya pada 24 September 1988.

    Keberangkatan Negara itu juga akan meningkatkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama termasuk pelaburan dan kewangan serta pertahanan.

    Baginda sebelum ini pernah berangkat ke Bahrain bagi Keberangkatan Negara pada bulan September 1988 dan lawatan kerja terakhir Baginda adalah pada 21 hingga 23 April 2000.

    Manakala His Majesty King Hamad bin Isa Al Khalifa pernah mengadakan Keberangkatan Negara ke Brunei pada 3 hingga 4 Mei 2017.

    Gambar fail bertarikh 3 Mei 2017 menunjukkan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima kunjungan muhibah His Majesty King Hamad bin Isa Al Khalifa di Istana Nurul Iman. – Gambar oleh Infofoto
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...