Thursday, May 9, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    KSSUP laksana dua inisiatif tingkat sara diri negara

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Bagi meningkatkan lagi sara diri bagi negara ini, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah melaksanakan dua inisiatif dengan salah satu daripadanya mengenal pasti dan membuat percubaan bagi padi bukit yang digenangi (irrigated) Republik Rakyat China yang boleh menghasilkan enam tan padi.

    Pada awalnya, ia diharapkan dapat menghasilkan tiga tan metrik, yang mana daripada satu tan kepada tiga tan metrik kerana tanahnya berlainan berbanding di sana.

    Jika percubaan berkenaan berjaya, ia akan dapat meningkatkan lagi sara diri sekurang-kurangnya kepada 12 peratus, namun ini bergantung kepada beberapa faktor.

    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menjelaskan, salah satu faktor utama adalah cara-cara mereka menyediakan tanaman berkenaan dan ladang.

    Jika diamati daripada pengajaran terdahulu daripada Sambada (188), ladang-ladang yang berjaya menghasilkan sehingga 8 tan metrik, kerana usaha mereka mengendalikan ladang berkenaan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa Persidangan MMN ke-20. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Jadi perlu kerjasama rapat antara pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan para peladang untuk sama-sama mengerjakannya seperti yang telah ditunjuk ajar dan dicadangkan oleh pakar-pakar padi berkenaan, untuk mendapatkan hasil yang maksimum.

    Faktor kedua adalah jenis tanah yang ada di Brunei, di mana kadang-kadang tanah masam dan ia memerlukan banyak campur tangan oleh pihak peladang untuk membaiki tanah.

    Itulah antara cabaran yang dihadapi oleh peladang-peladang padi di negara ini. Walau bagaimanapun Jabatan Pertanian dan Agrimakanan akan terus berusaha dengan pihak peladang untuk meningkatkan hasil keluaran padi di negara ini.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan perkara itu semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam berhubung kadar sara diri komoditi ternakan daging kerbau dan lembu serta beras yang tiada peningkatan dalam tempoh yang begitu lama iaitu lima hingga 10 tahun kebelakangan, pada hari keenam Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis pada hari keenam.

    Pada persidangan itu, Yang Berhormat Hajah Safiah berpendapat, sebagai usaha untuk meningkatkan produktiviti dan taraf sara diri, kedua-dua komoditi berkenaan hendaklah diberi keutamaan segera dengan meneroka strategi-strategi baharu di samping mengekalkan strategi sedia ada yang masih dikenal pasti masih efektif.

    Ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada import luar negara dan untuk memenuhi permintaan tempatan serta memastikan sekuriti makanan yang terjamin di negara ini.

    “Di samping itu, kaola mencadangkan juga supaya pihak KSSUP menggiatkan lagi kerja-kerja penyelidikan yang sedia ada bukan sahaja untuk memastikan kualiti benih-benih tanaman, tetapi mungkin juga mengikuti kajian kualiti tanah dan persekitaran di tapak pertanian yang dipilih khususnya untuk penanaman padi yang bersesuaian dan di samping itu, untuk pihak KSSUP memudahkan proses permohonan dan peraturan bagi mendapatkan tapak-tapak pertanian dan penternakan yang dikenal pasti bersesuaian untuk produktiviti tinggi kedua-dua sektor ini,” ujarnya.

    Tambahnya, tapak-tapak yang diberikan tersebut hendaklah diberikan dalam keadaan yang bersih dan bersedia untuk diusahakan bagi pengusaha-pengusaha baharu bukannya kawasan hutan yang semak dan kawasan-kawasan banjir yang memerlukan kos tinggi untuk kerja-kerja pembersihan dan terpaksa ditanggung oleh pengusaha.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...