Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Kursus tingkat kemahiran kepimpinan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB), baru-baru ini, telah memeterai perjanjian untuk melaksanakan kursus kepimpinan bagi kakitangan AITI.

    Ia bermatlamat untuk melengkapkan dan memupuk pemimpin berkualiti tinggi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menyesuaikan diri, mengatasi dan memanfaatkan pada sebarang peluang serta cabaran.

    Majlis penandatanganan perjanjian untuk menyediakan kursus kepimpinan selama dua bulan bagi penolong pengurus, ketua pegawai teknikal dan pegawai teknikal kanan AITI itu telah diadakan di Dewan Seri Kerna, AITI pada 14 November lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AITI, di sini, menandatangani bagi UTB ialah Naib Canselor, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan saksi, Penolong Naib Canselor (Industri dan Perkhidmatan) dan Pengerusi Jawatankuasa Program Pembangunan Eksekutif (EDP) UTB, Dr Mohammad Saiful bin Haji Omar.

    Manakala itu, menandatangani bagi AITI ialah Ketua Eksekutif, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar dengan saksi, Penolong Ketua Eksekutif Perkhidmatan Korporat, Dayang Asimah binti Haji Hassan.

    Perjanjian kerjasama itu ditubuhkan di bawah payung memorandum persefahaman (MOU) yang telah dimeterai oleh AITI dan UTB pada Januari 2021.

    Projek-projek lain yang dilaksanakan di bawah MOU berkenaan adalah inisiatif untuk mengetengahkan kes-kes penggunaan 5G serta juga Kaji Selidik ICT Brunei Darussalam bagi Individu, Isi Rumah dan Perniagaan 2021.

    Kakitangan AITI yang mengambil bahagian dalam program berkenaan dihasratkan untuk memanfaatkan sepenuhnya kemahiran yang diperoleh seperti menggunakan pemikiran strategik untuk menubuhkan objektif dan matlamat bagi unit masing-masing, menguruskan fungsi utama untuk mencapai keputusan organisasi serta mengasah kemahiran analisis mereka untuk membuat keputusan yang bermaklumat.

    Dr Mohammad Saiful (kiri), Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah, Ir Haji Jailani dan Dayang Asimah (kanan) menunjukkan dokumen perjanjian yang dimeterai semasa majlis berkenaan. – Gambar serahan AITI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...