Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Lima maut, gempa kuat gegar PNG

    PORT MORESBY, 11 SEPT – Gempa bumi berukuran 7.6 magnitud telah menggegarkan Papua New Guinea (PNG), hari ini, hingga memusnahkan bangunan-bangunan, mencetuskan tanah runtuh dan mengorbankan kira-kira lima orang, dengan beberapa yang lain cedera.

    Menurut penduduk di bandar utara berhampiran pusat gempa, berlaku gegaran kuat pada sebelah pagi yang menyebabkan jalan raya dan bangunan retak.

    Ahli Parlimen, Kessy Sawang memaklumkan, dua dilaporkan maut di perkampungan pergunungan terpencil, manakala empat lagi mangsa diterbangkan ke hospital akibat cedera parah.

    Beliau berkata, berlaku kerosakan meluas dengan sejumlah kediaman tertimbus bawah runtuhan tanah dan ‘memisahkan’ sebuah kampung yang kebanyakannya ‘kehilangan rumah mereka’.

    Berdekatan Wau, Koranga Alluvial Mining berkata tiga pelombong terkubur hidup-hidup.

    Tanah runtuh menghalang sebahagian lebuh raya dekat bandar Kainantu susulan gempa bumi berukuran 7.6 magnitud di timur laut PNG pada 11 September. – AP

    Terdapat komunikasi terhad di kawasan itu, dengan sebilangan kecil sumber kerajaan dan jalan berturap yang sedikit, menjadikan usaha penilaian dan menyelamat bertambah sukar.

    Beberapa buah syarikat penerbangan dan kumpulan mubaligh telah terlibat dalam membantu membawa mangsa cedera merentasi landskap hutan rimba.

    “Situasinya amat sukar, rupa bumi dan cuaca yang sangat mencabar,” kata Nellie Pumai dari Penerbangan Manolos, yang membawa seorang mangsa dan cuba untuk kembali ke lokasi gempa.

    Di timur bandar Goroka, penduduk mengambil gambar sengkuap tingkap jatuh dari tembok universiti tempatan yang merekah.

    Gempanya sangat kuat, kata Hivi Apokore, seorang pekerja di Jais Aben Resort dekat bandar pesisir Madang.

    “Segala-galanya seperti duduk di tepi laut – hanya terapung,” ujarnya.

    Gempa itu turut dirasakan sejauh bandar Port Moresby sekitar 400km jauhnya.

    Jabatan Geologi AS pada awalnya mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pantai berdekatan namun selepas itu mengatakan ancaman sudah berlalu.

    Tetapi, penduduk di kawasan pantai bergegas ke kawasan lebih tinggi untuk menyelamatkan diri selepas mendapati paras air laut menurun secara tiba-tiba.

    Perdana Menteri Papua New Guinea, James Marape berkata gempa bumi itu kuat dan menggesa penduduk supaya terus berjaga-jaga namun beliau berkata dia menjangkakan kerosakan itu kurang teruk daripada gempa yang pernah berlaku sebelumnya pada tahun 2018 yang telah mengorbankan sekitar 150 orang.

    Bagaimanapun, skala kerosakan atau kecederaan yang berlaku semasa gempa hari ini masih belum dapat dipastikan.

    “Agensi bencana peringkat wilayah dan kebangsaan, begitu juga pemimpin, sudah diminta untuk menilai kerosakan serta kecederaan yang berlaku, sekali gus menanganinya dengan secepat mungkin,” kata Marape. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...