Friday, May 3, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    Man Utd berjaya kekang Atletico

    MADRID, 24 FEB – Manchester United berjaya mengelak daripada mencatat kekalahan teruk ketika berdepan Atletico Madrid kelmarin apabila gol lewat Anthony Elanga membolehkan mereka seri 1-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

    Atletico mengatasi United yang lembap untuk majoriti perlawanan di Wanda Metropolitano dan mungkin menganggap gol awal Joao Felix kurang memberikan manfaat menjelang perlawanan kedua di Old Trafford dalam masa tiga minggu.

    Bagaimanapun, mereka gagal untuk menambah gol untuk dibawa ke Old Trafford sebaliknya membenarkan lawan memperoleh jaringan penyamaan selepas Elanga mendapatkan hantaran Bruno Fernandes dan menggunakan penyudah cemerlang ketika berbaki 10 minit untuk membolehkan United seri yang dirasakan seperti kemenangan.

    Bos United Ralf Rangnick ditanya dalam sidang akhbarnya apa yang dia sampaikan kepada pemain United pada separuh masa.

    “Saya memberitahu mereka ini tidak mencukupi,” katanya.

    “Kami perlu mempunyai lebih banyak tenaga. Ini bukan tentang rancangan permainan atau taktik. Ini tentang keyakinan. Ini tentang kepercayaan. Ini tidak mencukupi. Ini Liga Juara-Juara.”

    Pemain Atletico, Sime Vrsaljko telah pun terkena palang pada penghujung separuh masa pertama dan Antoine Griezmann turut dinafikan kemenangan lewat selepas gol penyamaan Elanga.

    Walaupun United boleh menarik nafas lega dengan keputusan itu, ini merupakan satu lagi prestasi yang tetap menimbulkan kebimbangan serius tentang kemajuan dan hala tuju mereka di bawah jurulatih sementara, Ralf Rangnick. – AFP

    Aksi Anthony Elanga menjaringkan gol dalam perlawanan antara Manchester United dan Atletico Madrid kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...