Wednesday, May 8, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Moderna minta kebenaran dos ke-4 COVID

    WASHINGTON, 18 MAC – Pengeluar ubat-ubatan, Moderna kelmarin meminta Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan membenarkan suntikan keempat vaksin COVID sebagai dos penggalak untuk golongan dewasa.

    Permintaan itu lebih meluas daripada permintaan syarikat farmaseutikal Pfizer awal minggu ini agar pengawal selia meluluskan suntikan penggalak untuk semua warga emas.

    Dalam kenyataan akhbar, syarikat itu berkata permintaannya untuk kelulusan bagi semua golongan dewasa dibuat “untuk memberikan fleksibiliti” kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit dan penyedia perubatan untuk menentukan “penggunaan yang sesuai” dos penggalak kedua vaksin mRNA, “termasuk bagi mereka yang berisiko tinggi untuk COVID disebabkan oleh usia atau komorbiditi.”

    Pegawai Amerika Syarikat (AS) telah meletakkan asas untuk memberikan dos penggalak tambahan bagi menyokong perlindungan vaksin terhadap penyakit serius dan kematian akibat COVID. Rumah Putih telah memberi amaran bahawa ia memerlukan Kongres untuk “segera” meluluskan lebih banyak pembiayaan untuk kerajaan persekutuan bagi mendapatkan lebih banyak dos vaksin COVID, sama ada untuk suntikan penggalak tambahan atau imunisasi khusus varian.

    Pegawai kesihatan AS pada masa ini mengesyorkan pemberian dua dos vaksin Moderna dan dos penggalak beberapa bulan kemudian.

    Moderna berkata permintaan untuk dos tambahan adalah berdasarkan “data yang diterbitkan baru-baru ini yang dihasilkan di AS dan Israel berikutan kemunculan Omicron.” – AP

    Moderna meminta Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan kelmarin membenarkan suntikan keempat vaksin COVID sebagai dos penggalak untuk semua orang dewasa. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...