Wednesday, May 8, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Naik taraf keupayaan aset tentera

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Sebagai salah satu tunggak utama dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) akan terus komited dalam memastikan pertahanan negara terus kukuh dan bersiap sedia menangani apa jua bentuk ancaman, sama ada tradisional dan non-traditional baik dari dalam mahupun dari luar negara.

    Selain itu juga, kementerian dan ABDB memberikan keutamaan kepada usaha-usaha ke arah permodenan dan penaiktarafan aset-aset keupayaan dan peningkatan kapasiti sumber tenaga manusia yang benar-benar profesional dan terlatih demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara tercinta, selaras dengan visinya A Formidable Armed Forces and a Reliable Partner.

    Penekananan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa membentangkan mukadimah belanjawan bagi Kementerian Pertahanan pada hari kelima permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang bersidang di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Dalam pembentangannya itu, Yang Berhormat Pehin antara lain menekankan mengenai keupayaan aset tentera.

    Beliau berkata, dalam melengkapkan lagi kesiapsiagaan ABDB menghadapi ancaman-ancaman global yang dinamik, pantas dan rentas sempadan, Kementerian Pertahanan dan ABDB akan terus berusaha memastikan bahawa semua perancangan perkembangan dan peningkatan keupayaan aset-aset ketenteraan akan dapat direalisasikan.

    “Oleh yang demikian, usaha ke arah perolehan aset pertahanan dan persenjataan yang baharu dan moden adalah sangat penting dan harus diberikan keutamaan bagi mengurangkan jurang keupayaan yang diperlukan untuk memenuhi peranan, penugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

    “Sebagai contoh Kementerian Pertahanan telah menandatangani kontrak bagi perolehan Air Transporter Airbus C295 yang mana dengan adanya pesawat pengangkut ini nanti, akan dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan ABDB melaksanakan pelbagai misi selain dari hanya digunakan sebagai pengangkutan udara strategik malah bagi perlaksanaan bantuan kemanusiaan dan bencana serta misi mencari dan menyelamat apabila diperlukan,” ujarnya.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menekankan, keupayaan pertahanan akan hanya mampu berdaya tahan lama dengan adanya infrastruktur pertahanan yang berkualiti.

    Ke arah itu, Kementerian Pertahanan dan ABDB juga akan memberikan tumpuan dalam pembinaan infrastruktur baharu dan pemeliharaan serta penaiktarafan infrastruktur yang sedia ada bagi penempatan aset-aset utama di kesemua perkhidmatan angkatan tentera iaitu tentera darat, tentera laut, tentera udara dan Markas Angkatan Bersama ABDB yang setentunya akan memerlukan perbelanjaan yang agak besar.

    “Di samping itu, Kementerian Pertahanan dan ABDB juga tidak ketinggalan dalam memajukan sistem dan infrastruktur teknologi maklumat dengan inisiatif penerbitan Rangka Kerja Strategi Digital Pertahanan yang dilaksanakan selaras dengan keperluan dan usaha kebangsaan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara pintar.

    “Kepentingan ke arah pengawalan ancaman siber juga telah diberikan keutamaan dengan penubuhan Unit Pertahanan Siber yang setentunya akan memberikan nilai tambah kepada lingkaran keselamatan yang sedia ada di Kementerian Pertahanan dan ABDB,” ujar Yang Berhormat Pehin lanjut.

    Manakala itu, dalam membantu negara mengurangkan kadar pengangguran dan sebagai usaha dalam penambahan keanggotaan di semua perkhidmatan angkatan tentera, beliau berkata, Kementerian Pertahanan dan ABDB turut mengemaskinikan dasar pengambilan dan latihan bakal-bakal rekrut dengan memperkenalkan jangka masa latihan rekrut di Institut Latihan ABDB dipendekkan ke 14 minggu, manakala tiga bulan selebihnya akan menjalani latihan Special to Service (STS) di unit-unit angkatan tentera mengikut bidang yang telah diaturkan.

    Melalui dasar itu, kemasukan rekrut lelaki dan wanita dijangka akan mencecah seramai 960 orang berbanding dengan hanya 540 orang setahun.

    Seterusnya pengambilan anggota tambahan yang diperlukan dirancang untuk diperolehi melalui Reservist Scheme termasuk penglibatan anggota Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei.

    Menyentuh mengenai isu kebajikan yang menjurus kepada keperluan asas seperti perumahan, Yang Behrormat Pehin mengongsikan perancangan bagi pembinaan perumahan tentera dalam bentuk pangsapuri yang sedang giat dirangka.

    Ini melibatkan pembinaan di semua perkhemahan-perkhemahan kecuali Perkhemahan Lumut. Projek berkenaan akan dirancang untuk dilaksanakan secara berfasa yang setentunya memerlukan perbelanjaan yang besar.

    Turut disentuh ialah mengenai rancangan penggantian atau succession planning sebagai faktor yang penting dalam penyediaan lapisan kepimpinan pada masa akan datang di mana kementerian dan ABDB telah, sedang dan akan merancang secara sistematik rancangan penggantian kesemua peringkat kepimpinan terutama jawatan kepimpinan atasan kearah kesinambungan yang berkesan dan calon pemimpin yang benar-benar berkelayakan.

    Di samping itu, kementerian dan ABDB pada masa ini juga sedang dalam proses meneliti perancangan dan dasar yang ada sebagai usaha untuk meningkatkan lagi keberkesanan perkembangan kerjaya yang lebih bersistematik dan telus termasuk Rangka Kerja Perkhidmatan Awam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...