Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Wujudkan platform data belia berniaga

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Ramai belia di Negara Brunei Darussalam sudah mempunyai visi, memandang ke hadapan dan siap siaga untuk memajukan diri di mana mereka telah berani meneroka bidang-bidang baharu termasuk bidang perekonomian, digital, inovasi sosial, industri kreatif dan perisian.

    Perkara itu dapat disaksikan menerusi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang ditubuhkan oleh belia-belia berkenaan, di mana dapat disaksikan bahawa mereka lebih celik teknologi serta tahu menggunakan platform digital untuk memasarkan produk dan logistik mereka.

    Kadangkala mereka juga mempunyai laman sesawang tersendiri atau aplikasi untuk memasarkan produk mereka kepada pelanggan, cuma mereka hanya perlu dibimbing bagi mendapatkan akses kepada kewangan serta kemahiran teknologi, pengurusan kewangan dan pemasaran untuk lebih berdaya tahan dan berdaya saing.

    Perkara itu dinyatakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dalam perbahasan pembentangan belanjawan semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.

    Yang Berhormat Pehin menambah bahawa kita tidak ketandusan institusi yang menangani isu belia berniaga dan memerhati bahawa institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan institusi kewangan mempunyai program tersendiri untuk memupuk minat dan mengangkat belia bagi menceburi dalam bidang perdagangan.

    Namun begitu, beliau menyatakan bahawa kita kurang pasti mengenai sistem pemantauan dan penjejakan yang ada untuk mengetahui jika para belia berkenaan meneruskan usaha perekonomian mereka atau sebaliknya.

    Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Pehin mencadangkan supaya diadakan satu badan yang boleh menyatukan dan mengkoordinasi semua usaha kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan dan institusi kewangan yang berkaitan serta terlibat dalam kemajuan belia dalam perniagaan serta PMKS supaya dapat diakses oleh semua pihak yang berminat untuk membantu dan mengembangkan perniagaan belia dan PMKS berkenaan.

    “Jika kita telah berjaya mencipta Sistem Kebajikan Negara (SKN) bagi mendapatkan data-data golongan yang memohon bantuan, mengapa kita tidak boleh mencipta satu aplikasi atau platform yang sama yang boleh membuatkan semua data-data belia berniaga, start-up dan PMKS untuk memudahkan koordinasi semua agensi ini termasuk tracking dan bantuan kemahiran yang diperlukan supaya ia dapat disalurkan dengan efektif dan efisien,” soal beliau.

    Beliau seterusnya menyatakan harapan perkara itu dapat dikaji semula secara mendalam agar penglibatan belia-belia itu dalam perniagaan dan PMKS akan dapat diperluaskan serta dimanfaatkan sepenuhnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...