Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Padah ugut ibu guna parang

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dijatuhi hukuman penjara 16 bulan kelmarin kerana melakukan ugutan bersenjata terhadap ibunya.

    Mohd Alizul bin Ahmad mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Perantaraan, Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar pada 16 Jun lalu.

    Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Pengiran Masni berkata pertuduhan itu merupakan kesalahan serius, tingkah laku ganas yang mengugut untuk membunuh ibunya tidak boleh diterima dan keluarganya mesti dilindungi.

    Mahkamah juga mengambil kira sabitan defendan terdahulu pada tahun 2020.

    Pendakwa Raya Atiyyah Abas mendedahkan bahawa kejadian bermula ketika defendan sedang memancing di Kampung Pekilong pada 14 Mei lalu.

    Defendan menerima pesanan suara daripada bekas isterinya yang menyatakan bahawa dia telah dihalau keluar dari rumah oleh ibu defendan.

    Defendan kemudiannya memandu pulang ke rumah dan mendapati bekas isterinya tidak ada di rumah.

    Dia juga mencari bekas isterinya di rumah yang lain di Kampung Sungai Kebun tetapi tidak berhasil dan pada waktu malam bekas isterinya itu memberitahu defendan bahawa dia berada di Kampung Lumapas.

    Defendan terus menuju ke rumah ibunya dan menemui ibunya di dalam bilik tidurnya lalu bertanyakan ibunya mengenai kejadian tersebut. Ibunya menafikan dakwaan yang dilemparkan ke atasnya.

    Defendan yang marah mendengar jawapan ibunya lantas mengambil parang dan menggunakan parang tersebut untuk mengugut ibunya dengan mengacukan ke muka ibunya sambil berkata, “Saya akan bunuh kamu. Jika isteri saya tidak pulang, kita berdua akan mati bersama.”

    Defendan juga mengejar ibunya di sekeliling rumah, mendorong mangsa lari ke rumah jiran di mana dia bersembunyi di dapur. 

    Defendan menunggu di luar sehingga seorang rakan datang untuk menenangkannya, dan dia akhirnya meninggalkan tempat kejadian.

    Disebabkan takut, ibu defendan membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan defendan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...