Wednesday, May 8, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Perbadanan TAIB capai pensijilan PCI DSS

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) memaklumkan kejayaan pencapaian Pensijilan Payment Card Industry Data Security Standard (PCI DSS) Versi 3.2.1 bagi Kad Data Persekitaran dan perkhidmatan pengeluaran kad debit, yang menandakan mercu tanda signifikan dalam ruang sekuriti data sektor kewangan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Perbadanan TAIB, di sini, pensijilan PCI DSS merupakan standard yang diiktiraf industri yang berperanan untuk memastikan pelaksanaan konsisten langkah-langkah sekuriti data yang mantap khususnya menumpukan kepada pelindungan data pemegang kad.

    Pensijilan itu membuktikan dedikasi Perbadanan TAIB dalam mengekalkan standard tertinggi sekuriti data, memastikan kerahsiaan pelanggan serta melindungi daripada ancaman-ancaman berpotensi seperti kecurian data dan pencerobohan berasaskan Internet.

    Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim mengetengahkan komitmen tidak berbelah bahagi institusi berkenaan kepada sekuriti data.

    Beliau dipetik menyatakan bahawa Perbadanan TAIB sentiasa mengutamakan pelaburan dalam sekuriti dan perlindungan data untuk memastikan bahawa data pelanggan mereka adalah selamat.

    Datin Hajah Hasnah menerima Sijil PCI DSS daripada Manju Devaraj. – GAMBAR SERAHAN PERBADANAN TAIB
    Gambar ramai pada majlis penyerahan pensijilan berkenaan.- GAMBAR SERAHAN PERBADANAN TAIB

    Datin Hajah Hasnah seterusnya menyatakan bahawa mencapai kepatuhan PCI DSS merupakan bukti dedikasi mereka dalam mengekalkan standard sekuriti data industri yang tertinggi.

    Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan, tambahnya, mereka akan terus memastikan bahawa keperluan yang ketat itu dibenamkan sepenuhnya ke dalam sistem dan proses mereka.

    Sijil PCI DSS telah disampaikan secara rasminya kepada Perbadanan TAIB oleh Ketua Serantau Secure Logic Pte Ltd (Secure Logic), Manju Devaraj di mana menerima bagi pihak institusi berkenaan ialah Datin Hajah Hasnah dalam majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Nur TAIB, Ibu Pejabat Perbadanan TAIB, di sini.

    Secure Logic juga telah menyampaikan Compliance Champion Award for the Year 2022-2023 kepada Perbadanan TAIB.

    Perbadanan TAIB, sebuah pengeluar bagi kad debit MasterCard, baru-baru ini, telah menyelesaikan audit menyeluruh bagi sistem, dasar dan prosedurnya. Ia telah berjaya untuk mencapai kepatuhan

    PCI DSS pada 15 Disember 2023 di mana penilaian berkenaan telah dikendalikan oleh Secure Logic, yang merupakan Penilai Sekuriti Bertauliah (QSA) yang diiktiraf oleh PCI Security Standards Council (PCI SSC).

    Dengan pencapaian berkenaan, Perbadanan TAIB menjadi salah satu daripada hanya beberapa institusi kewangan yang mencapai pensijilan PCI DSS di negara ini.

    Secure Logic merupakan peneraju teknologi sekuriti siber dengan tumpuan untuk menyampaikan penyelesaian identiti digital dan sekuriti siber inovatif yang beribu pejabat di Singapura.

    Dengan kejayaan Perbadanan TAIB untuk mencapai kepatuhan PCI DSS, ia membuktikan komitmennya dalam mengekalkan standard tertinggi sekuriti data serta mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai institusi kewangan yang dipercayai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...