Sunday, May 19, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Tinjau pelaksanaan aktiviti sekolah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Sempena permulaan sesi persekolahan bagi tahun akademik 2024, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh serta rombongan telah mengadakan lawatan kerja ke tiga buah sekolah, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, di sini hari ini menyatakan bahawa sekolah-sekolah yang dilawat ialah Sekolah Rendah Pengkalan Batu, Sekolah Rendah Batang Mitus dan Sekolah Rendah Lumapas.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan memulakan lawatan ke Sekolah Rendah Pengkalan Batu.

    Ketibaan Yang Berhormat Menteri Pendidikan dialu-alukan oleh guru besar sekolah tersebut, Dayang Noriah binti Haji Sarudin.

    Semasa lawatan, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan berpeluang menyaksikan aktiviti-aktiviti kembali ke sekolah yang diadakan di dewan sekolah. Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga berkesempatan berinteraksi dengan para guru dan pelajar semasa lawatan tersebut serta memberikan kata-kata motivasi.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa membuat tinjauan ke Sekolah Rendah Batang Mitus. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Lumapas. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan bergambar ramai dengan murid-murid Sekolah Rendah Pengkalan Batu. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan serta rombongan seterusnya meneruskan lawatan kerja ke Sekolah Rendah Batang Mitus.

    Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh guru besar sekolah berkenaan, Dayang Rokiah binti Haji Maidin.

    Semasa lawatan, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan berpeluang untuk menyaksikan dengan lebih dekat pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran agama setelah pengintegrasian.

    Yang Berhormat Pehin dan Yang Berhormat Datin serta rombongan kemudiannya meneruskan lawatan kerja ke Sekolah Rendah Lumapas. Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh guru besar sekolah berkenaan, Dayang Hasdinah Faranom binti Haji Mohd Hassan.

    Semasa lawatan, Yang Berhormat Pehin dan Yang Berhormat Datin meninjau prasarana sekolah bagi memastikan prasarana yang sedia ada adalah kondusif untuk mendukung sesi pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, mereka juga berpeluang menyaksikan inisiatif-inisiatif yang dijalankan di sekolah dalam menyokong pelaksanaan Pindaan Akta Pendidikan Wajib (APW) Penggal 211 Umur Wajib Bersekolah Enam Tahun kepada Lima Tahun.

    Turut menyertai rombongan itu ialah ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Antara tujuan lawatan adalah untuk meninjau dan menyaksikan secara lebih dekat pelaksanaan aktiviti-aktiviti kembali ke sekolah, meninjau prasarana sekolah seperti bilik-bilik darjah termasuk bilik pembelajaran prasekolah, bilik-bilik guru, dewan sekolah, kantin, tempat sembahyang, tempat berwuduk dan perpustakaan dengan mengambil kira pelaksanaan APW Penggal 211 Umur Wajib Bersekolah Enam Tahun kepada Lima Tahun, Pengintegrasian Mata Pelajaran Agama ke dalam Mata Pelajaran Umum dan pelaksanaan program STEAM.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...