Sunday, May 19, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Guru, pelajar SMK fokus pembangunan mampan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Bagi mengalu-alukan pelajar untuk sesi persekolahan 2024, pelbagai persiapan telah dilaksanakan oleh pihak sekolah dalam usaha memberikan keselesaan pembelajaran pelajar.

    Sekolah Menengah Katok (SMK) juga tidak terkecuali meningkatkan usaha untuk memberikan pembelajaran yang terbaik kepada pelajar sekolah berkenaan.

    Dalam temu bual media bersama pengetua, guru dan pelajar SMK masing-masing menanamkan semangat untuk mencapai harapan masing-masing seterusnya menyokong visi dan misi Kementerian Pendidikan.

    Pengetua SMK, Dayang Penroose Saleha binti Haji Mohd Salleh ketika ditemui di sekolah berkenaan, hari ini, antara lain telah mengongsikan persediaan mengalu-alukan pelajar bagi 2024 yang merangkumi beberapa aspek antaranya pentadbiran dan pencapaian sekolah.

    “Pihak sekolah telah membuat persiapan awal bagi mengalu-alukan pelajar 2024 terutama pelajar Tahun 7 yang merupakan pelajar yang baru memasuki pendidikan menengah pada tahun ini,“ kongsinya.

    Dayang Penroose Saleha ketika ditemu bual oleh media. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Dayang Nor Shuhada semasa ditemui media. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Dayang Siti Lilidiana ketika ditemu bual oleh media. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Dayang Mirza Fikriyah, pelajar yang ditemui media. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Untuk pelajar Tahun 7, jelasnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak sekolah telah memaklumkan ibu bapa dan penjaga yang tinggal di kawasan tadahan SMK untuk membuat pendaftaran sebelum keputusan PSR diumumkan.

    “Langkah itu dibuat bagi melancarkan proses pendaftaran apabila sesi persekolahan bermula,” jelasnya

    Beliau seterusnya mengongsikan pencapaian penuntut Tahun 11 sejak penubuhan SMK, yang terus meningkat walaupun peningkatan tersebut tidak setanding dengan sekolah-sekolah lain, tetapi mereka berasa bangga kerana pencapaian keputusan menunjukkan peningkatan setiap tahun.

    Selain itu, beliau turut mengongsikan, SMK tahun ini telah membuat persetujuan dengan pihak Jabatan Pengajian Islam untuk mengadakan Sekolah Ugama Menengah Katok di sekolah berkenaan.

    Dengan adanya dua pentadbiran itu akan dapat berjalan seiring bagi memberikan keselesaan kepada penuntut sekolah berkenaan, tambahnya.

    Manakala itu, guru mata pelajaran Geografi dan Travel and Tourism, Dayang Siti Lilidiana binti Mohamad Zalini pula mengongsikan persiapan yang dilakukan sebagai seorang guru.

    Seperti lazimnya, guru-guru telah membuat persediaan sejak awal November tahun lepas, di mana guru telah menyediakan nota-nota ringkas untuk pelajar selain kerja sekolah dan kerja rumah untuk sepanjang tahun dan menyediakan pengajaran dalam bentuk slaid dan video untuk alat bantu mengajar bersama dengan bahan pengajaran dan pembelajaran yang lain.

    “Pada sesi awal persekolahan, guru-guru terlibat dalam aktiviti yang telah diungkayahkan oleh pihak pentadbiran untuk penuntut Tahun 8 hingga 11. Aktiviti itu memfokuskan kepada Wall Largest Lesson Activity dalam bidang itu menumpukan kepada Sustainable Development Goals 11: Sutainable Cities and Development.

    “Dalam aktiviti tersebut, guru-guru dan pelajar membuat aktiviti bersama-sama di kelas masing-masing, di mana mereka akan membuat poster, menonton dokumentari yang berkaitan selain membuat kuiz dan sesi kongsi sama dan pembentangan yang berkaitan dengan tajuk tersebut,” jelasnya.

    Pemangku Guru Besar Sekolah Ugama Menengah Katok, Bangunan Sekolah Menengah (BSM), Dayang Nor Shuhada binti Haji Moksin pula mengongsikan jumlah keseluruhan penuntut bersekolah agama di BSM untuk tahun pertama ia dibukakan adalah seramai 136 orang bagi Darjah 5 dan 6 sahaja.

    “Pendaftaran pelajar sekolah agama Darjah 5 dan 6 di BSM telah bermula hari ini yang mana sesi pembelajaran berjalan pada sebelah petang seperti biasa dan untuk pengetahuan semua juga, sekolah agama itu tidak termasuk dalam pengintegrasian,” jelasnya.

    Bagi pelajar Tahun 11 pula, Dayang Mirza Fikriyah binti Mohamad Isham melahirkan harapan akan terus dapat mempertingkatkan diri untuk mencapai keputusan yang cemerlang.

    Untuk mencapai apa yang diharapkan, beliau telah mempersiapkan diri dan menggunakan cuti persekolahan yang lepas dengan banyak membuat ulang kaji dan membaca buku.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...