Friday, May 3, 2024
29.8 C
Brunei

    -

    Projek MOON beri pengalaman seperti jejak kaki ke bulan

    Gambar AFP

    DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU – Siapa kata awda tidak boleh sampai ke bulan?

    Satu projek hartanah bernilai AS$5 bilion yang dicadangkan ingin membawa Dubai mencapai tahap yang lebih tinggi – dengan membawa simbol langit turun ke bumi.

    Usahawan Kanada, Michael Henderson membayangkan membina replika bulan sepanjang 274 meter di atas bangunan 30 meter di Dubai, yang sudah menempatkan bangunan tertinggi di dunia dan keajaiban seni bina yang lain.

    Projek Henderson, yang digelar MOON, mungkin terdengar seperti sesuatu yang luar biasa, tetapi ia boleh dilaksanakan di bandar futuristik itu.

    Dubai telah mempunyai pasaran hartanah yang menjadi rebutan, didorong oleh golongan kaya yang ingin mengelak daripada sekatan yang dikenakan di negara asal mereka semasa pandemik koronavirus dan warga Rusia yang mencari perlindungan di tengah-tengah peperangan Moscow dengan Ukraine.

    Visi Henderson

    Meskipun kitaran lonjakan ekonomi yang kemudian menurun sehingga menyaksikan banyak projek besar mengalami kegagalan, Henderson dan beberapa orang lainnya mengatakan bahawa visinya, yang dibiayai oleh Moon World Resorts Inc di mana dia merupakan pengasas bersama, mungkin tidak terlalu mustahil.

    Michael Henderson semasa membincangkan mengenai cadangan pembinaan resort berbentuk bulan di Dubai.
    Gambaran seni menunjukkan projek bernilai AS$5 bilion, MOON yang dibayangkan dibangunkan di Dubai Pearl.
    MOON, yang merupakan replika bulan sepanjang 274 meter di atas bangunan 30 meter di Dubai, akan menjadi salah sebuah keajaiban di dunia apabila ia disiapkan.

    “Kami mempunyai ‘jenama’ terbesar di dunia,” Henderson memberitahu The Associated Press, menyebutkan bahawa bulan itu sendiri merupakan ‘jenamanya’. “Lapan bilion orang mengetahui jenama kami, dan kami belum memulakannya.”

    Projek yang dicadangkan Henderson termasuk sebuah destinasi peranginan di dalam struktur berbentuk sfera, lengkap dengan hotel yang mempunyai 4,000 buah bilik, arena yang mampu memuatkan 10,000 orang pengunjung dan ‘koloni bulan’ akan memberikan tetamu pengalaman berjalan di bulan yang sebenar.

    MOON akan dibina di atas bangunan berbentuk lingkaran seperti podium di bawahnya dan akan bercahaya pada waktu malam.

    Henderson membincangkan projek tersebut pada Pasar Kembara Arab awal bulan lalu di Dubai.

    Sudah ada gambaran seni yang dipesan oleh Moon World Resorts yang menggambarkan MOON ditempatkan di beberapa buah lokasi, termasuk di Burj Khalifa, bangunan tertinggi di dunia dengan ketinggian 828 meter.

    Tempat-tempat lain termasuk Dubai Pearl, projek yang telah lama tidak aktif dan ketika ini sedang dimusnahkan berhampiran pulau buatan manusia, Palm Jumeirah, dan satu lagi pulau yang belum siap dibina, Palm Jebel Ali.

    The Pearl dan Palm Jebel Ali mewakili dua projek ‘gajah putih’ yang terbengkalai akibat krisis kewangan 2009 yang menggegarkan negara itu dan memaksa Abu Dhabi, ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE), untuk memberikan pinjaman sebanyak AS$20 bilion kepada Dubai.

    Pembangunan elit Dubai

    Kini hampir 15 tahun kemudian, keadaan di Dubai sebahagian besarnya berubah.

    Purata bayaran sewa di seluruh Dubai meningkat 26.9 peratus dari tahun-ke-tahun, meskipun dengan pelindungan harga yang melambung.

    Dubai menyaksikan penjualan 86,849 buah kediaman pada tahun lalu, memecahkan rekod terdahulu iaitu 80,831 pada 2009.

    “Dubai berada di dunia yang jauh berbeza berbanding pada 2009,” kata Lewis Allsopp, ketua pegawai eksekutif agensi hartanah Dubai yang terkemuka, Allsopp & Allsopp.

    Produk yang dilancarkan ‘terjual laris ketika itu juga’.

    Inflasi dan kadar faedah melonjak di seluruh dunia telah menyebabkan kebimbangan kemelesetan global.

    Mata wang UAE, dirham, menetapkan kadar pertukaran yang khusus untuk mata wang dolar, bermakna ia telah mengikuti langkah kenaikan yang dikenakan oleh Rizab Persekutuan.

    Tetapi wang tunai tetap menjadi keutamaan untuk pembeli Dubai, dengan empat per lima transaksi dalam mata wang tanpa pembiayaan pada 2022, kata Faisal Durrani, ketua penyelidikan Timur Tengah di agensi hartanah Knight Frank.

    “Awda boleh mengatakan bahawa lonjakan kadar faedah sedang berlaku, sehinggakan pasaran sedikit dilindungi daripada aktiviti transaksi yang didorong oleh tunai,” kata Durrani.

    Projek-projek besar lain sedang bergerak ke hadapan.

    Nakheel, pemaju milik kerajaan yang mengusahakan Palm Jebel Ali, telah melancarkan semula rancangan pembangunan.

    Pemaju itu juga mendedahkan rancangan berbilion dolar untuk membangunkan 80 buah resort dan hotel di pulau buatan manusia di Dubai, meskipun ia sebahagian besarnya masih kosong dan berada di laluan penerbangan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, pusat perjalanan antarabangsa paling sibuk di dunia.

    Sama seperti bangunan-bangunan hebat yang lain, MOON boleh dikatakan sebagai ‘formula terulung pemerintahan elit Dubai’,” kata Christopher Davidson, pakar Timur Tengah yang menulis buku terbaharu ‘From Sheikhs to Sultanism’.

    Dubai juga menjadi tuan rumah pusat angkasa UAE, yang telah menghantar pasukan penyiasat ke Marikh dan percubaan gagal untuk menghantar rover ke bulan.

    Rancangan Henderson akan selangkah lebih jauh berbanding projek-projek berbentuk glob yang lain, seperti MSG Sphere, kubah bernilai AS$2.3 bilion yang diliputi dengan skrin LED yang bakal dibuka di Las Vegas hujung tahun ini.

    Binaannya akan berbentuk sfera sepenuhnya, dan boleh diterangi secara alternatif menjadi bulan penuh, separa atau bulan sabit. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...