Wednesday, May 8, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Rekrut lelaki pengambilan ke-173 dirai

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Seramai 135 orang anggota rekrut lelaki bagi pengambilan ke-173 telah berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan dalam upacara perbarisan yang berlangsung di Padang Kawad Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), Penanjong Garison, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam bin Sulaiman.

    Turut hadir ialah timbalan-timbalan dan pemangku timbalan pemerintah angkatan tentera (AT) dan pemangku timbalan angkatan bersama, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan anggota dari Kementerian Pertahanan berserta keluarga dan penjaga anggota-anggota rekrut.

    Semasa Upacara Perbarisan Tamat Latihan Asas Rekrut Lelaki Pengambilan ke-173 itu, Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam telah dijemput untuk memeriksa perbarisan dan menyampaikan ucapan.

    Dalam ucapannya, beliau menekankan mengenai kepentingan kekuatan kerohanian, jasmani dan pengetahuan yang patut disemai dan dikembangkan di sepanjang perkhidmatan.

    Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam menyampaikan hadiah kepada salah seorang penerima pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Ia adalah sebagai asas kepada kekuatan ABDB yang berperanan sebagai benteng barisan hadapan dalam mempertahankan kesucian agama dan kedaulatan negara dan raja.

    Seterusnya, Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam turut memberikan kata-kata nasihat agar semua yang menamatkan latihan sama-sama berusaha menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran dan turut mendoakan kejayaan mereka pada masa akan datang.

    Seterusnya, Pemerintah TDDB menyempurnakan penyampaian anugerah kepada rekrut-rekrut dan jurulatih yang telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam kategori masing-masing.

    Penerima-penerima anugerah ialah 55645 Rekrut Wafiq Amna bin Haji Hamdani bagi Anugerah Rekrut Terbaik Keseluruhan; 55594 Rekrut Mohammad Addy Zaky Billah bin Haji Awang Raimi bagi Anugerah Kemahiran Tentera Terbaik; 55558 Rekrut Mohammad Wafri Al Jeferiah bin Mohd Sufri Al Jeferiah bagi Anugerah Senjata Ringan; dan 55674 Rekrut (U) Muhammad Nur’faiq Izzuddin bin Kamarul Ariffin bagi Anugerah Latihan Jasmani Terbaik.

    Manakala itu, 52432 Lans Koperal (U) Muhamad Rafiuddin Al-Islam bin Rosli telah menerima Anugerah Ketua Seksyen Terbaik dan 18616 Sarjan Muhamad Azmi bin Bujeh sebagai Platun Sarjan Terbaik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...