Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Ribuan pelajar Korea duduki peperiksaan

    SEOUL, 17 NOV – Korea Selatan hari ini menutup ruang udaranya untuk memastikan keadaan senyap sunyi dan menawarkan pengiring polis bagi pelajar yang lambat ketika lebih daripada setengah juta pelajar menduduki peperiksaan penting memasuki universiti.

    Kementerian Pendidikan Seoul mengatakan seramai 508,030 pelajar menduduki peperiksaan tahunan yang berlangsung selama sembilan jam tahun ini, yang mana keputusannya adalah penting bagi kelayakan memasuki universiti-universiti terkemuka.

    Namun senario ibu bapa yang kelihatan cemas menghantar anak-anak mereka ke tempat peperiksaan, kemudian mengunjungi kuil tempatan untuk mendoakan kejayaan mereka – menyerlahkan kepentingan lebih meluas peperiksaan itu, yang kejayaannya juga dilihat bukan sahaja kunci kepada kerjaya lumayan malah prospek perkahwinan.

    Tekanan berat ke atas pelajar dalam sistem pendidikan terlampau kompetitif Korea Selatan juga dipersalahkan bagi depresi remaja dan kadar bunuh diri antara yang tertinggi di dunia.

    Peperiksaan tahun ini, dikenali sebagai ‘Suneung’ di Korea – singkatan bagi Ujian Keupayaan Akademik Universiti – diadakan dalam tahun ketiga di bawah sekatan COVID.

    Langkah-langkah berkaitan pandemik turut menjejaskan pelajar yang perlu membawa bekalan air dan makanan mereka sendiri dan perlu memakai pelitup muka sepanjang peperiksaan.

    Kepentingan peperiksaan itu di peringkat kebangsaan juga dicerminkan dalam langkah-langkah luar biasa diambil oleh pihak berkuasa untuk menghindari sebarang gangguan yang boleh menjejaskan pelajar.

    Antara langkah itu ialah pejabat kerajaan, bank dan pasaran saham dibuka lewat sejam berbanding biasa bagi meredakan kesesakan lalu lintas dan memastikan pelajar tiba tepat masanya.

    Manakala pendaratan dan pelepasan pesawat di lapangan terbang negara itu juga digantung 35 minit semasa ujian mendengar Bahasa Inggeris pada jam 1:05 kecuali bagi pendaratan kecemasan.

    Sejumlah 77 pesawat – 18 daripada penerbangan antarabangsa – juga dijadualkan semula kerana peperiksaan itu, menurut kementerian pengangkutan Korea Selatan. – AFP

    Ibu bapa pelajar mendoakan kejayaan anak-anak mereka dalam peperiksaan kelayakan ke universiti di Kuil Buddha Jogyesa di Seoul, Korea Selatan, 17 November. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...