Thursday, May 9, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Sabah bangunkan sistem cegah pemalsuan cukai jualan

    KOTA KINABALU, 1 JULAI – Kerajaan Sabah akan mewujudkan sistem bersepadu secara dalam talian antara Kementerian Kewangan negeri dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi mencegah pemalsuan pengisytiharan cukai jualan oleh syarikat berkaitan di negeri itu.

    Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata sistem tersebut dibangunkan untuk usaha mengekang perkara berkenaan daripada berterusan.

    “Saya mengambil perhatian serius berikutan kes melibatkan aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan oleh syarikat terlibat kepada Kementerian Kewangan Sabah yang dilaporkan melalui sesi khidmat nasihat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.

    “Oleh itu, langkah menambahbaik proses-proses penguatkuasaan serta kutipan akan dilakukan termasuk pindaan (jika perlu) ke atas undang-undang dan peraturan bagi memastikan ketirisan tidak berlaku selain menjaga kepentingan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Satu unit pasukan khas juga akan dibentuk melibatkan kementeriannya bersama MPOB dan SPRM bagi mengutip semula cukai jualan sekiranya ada yang masih belum diisytiharkan.

    Masidi berkata kementeriannya turut bersetuju memberikan tempoh moratorium Bayaran Balik Cukai kepada syarikat terlibat.

    “Syarikat-syarikat boleh memohon untuk taksiran semula sekiranya mereka membuat pengisytiharan butiran tidak betul kepada Kementerian Kewangan Sabah dan membayar cukai sebenar selepas taksiran dibuat oleh kementerian.

    “Kerajaan Sabah akan sentiasa menyokong dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam usaha pencegahan rasuah di negeri ini,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Hong Kong gagalkan percubaan rompakan

    HONG KONG, 8 MEI - Polis Hong Kong menahan lima lelaki yang cuba merompak sebuah kedai barang kemas, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)...