Friday, May 3, 2024
28.3 C
Brunei

    -

    Tradisi Falconry sasar peminat asing

    DOHA – Qatar telah menjadi tumpuan peminat bola sepak global sejak memenangi hak menjadi tuan rumah Piala Dunia.

    Tetapi satu lagi sukan menjadi tarikan di pusat bersejarah ibu negara itu, di mana lebih sejuta peminat asing berduyun-duyun ke sana untuk Falconry atau Sukan Burung Helang.

    Di Souq Waqif yang sibuk, pasar bersimpang-siur berusia 100 tahun di Doha, kedai-kedai menjual rempah ratus dan cenderahati memberi laluan kepada kedai malah hospital yang canggih yang dipenuhi dengan burung terkenal yang telah lama diminati dalam kalangan suku Badwi.

    Selama berabad-abad, orang Arab di seluruh wilayah telah menggunakan burung helang untuk memburu dan membacakan puisi yang memuji kebaikannya. Hari ini, burung-burung pemangsa itu berfungsi sebagai peringatan yang kuat tentang budaya dan tradisi Qatar walaupun bandar itu dipenuhi bangunan pencakar langit.

    “Sudah tentu, bola sepak adalah ibu kepada sukan. Tetapi di samping bola sepak ada sukan lain yang sangat penting yang kami mahu orang asing faham tentang Qatar,” kata Khalid al-Kaja, seorang pemilik burung helang yang berasal dari luar bandar Syria yang berpindah ke Doha bersama keluarganya lebih dua dekad lalu untuk membiakkan burung tersebut.

    Abdulaziz Alansi memeriksa seekor burung helang di sebuah kedai di Doha, Qatar. – AP
    Seorang warga Qatar melihat seekor burung helang yang dijual di sebuah kedai di Doha, Qatar. – AP

    Al-Kaja menyatakan harapan bahawa tumpuan Piala Dunia akan meningkatkan penghargaan global untuk hobi purba yang telah beliau dedikasikan dalam hidupnya. Barisan burung helang, ditambat menunggu untuk dinilai. Bagi rakyat Qatar, raptor itu melambangkan sebagai haiwan kesayangan, simbol status dan pemburu yang ganas.

    “Qatar mempunyai infrastruktur baharu, bangunan, segala-galanya,” kata al-Kaja, merujuk kepada nilai AS$200 bilion yang telah dicurahkan ke dalam kejohanan bola sepak berkenaan.

    “Tetapi kita tidak melupakan masa lalu. Falconry adalah semangat yang menyatukan seluruh wilayah,” tambahnya.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, populariti burung helang telah melonjak, apabila warga Qatar dan penduduk Arab lama melihat peningkatan nilai dalam peninggalan budaya dari zaman sebelum emirat itu menjadi sebuah negara, apatah lagi hab kekayaan gas asli dan perniagaan antarabangsa.

    Kelab burung helang, pertandingan kecantikan dan perlumbaan telah bertunas di padang pasir Qatar dan merentasi Semenanjung Arab, menyebabkan harga burung helang melonjak, kata peniaga. Burung helang terbaik di kedai al-Kaja dijual dengan harga 1 juta riyal Qatar (AS$274,680), katanya.

    Tiada tempat yang lebih baik bagi menunjukkan kasih sayang terhadap burung helang selain Hospital Falcon Souq Waqif berdekatan di Doha, yang keseluruhan kemudahan perubatan yang dikhaskan untuk rawatan pakar dan penjagaan burung.

    Walaupun sukan burung helang banyak diminati dalam kalangan masyarakat Qatar, namun keterujaan terhadap Piala Dunia lebih menonjol.

    Seorang pemilik burung helang Qatar, Masnad Ali Al Mohannadi, mengiklankan burung kesayangannya, bernama Neyar, sebagai psikik yang mampu memilih pemenang perlawanan Piala Dunia.

    Awal minggu di Al Khor, kira-kira 50 kilometer di utara Doha, dia mengikat daging merpati pada bendera Qatar dan Ecuador, pasukan yang memulakan kejohanan. Dua dron menarik bendera ke langit. Ketika ia berkibar, Al Mohannadi, meminta helangnya untuk memilih pemenang. Neyar meluru ke arah bendera Qatar tetapi sejurus kemudian, raptor itu terjun ke arah bertentangan meragut daging pada bendera Ecuador. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi perisik Seoul beri amaran kepada Korea Utara

    SEOUL, 3 MEI - Agensi perisik Korea Selatan berkata hari ini bahawa Pyongyang sedang merancang serangan pengganas yang menyasarkan pegawai dan rakyat Seoul di...