GENEVA, 29 NOV – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin menggesa negara-negara dunia untuk meningkatkan pengawasan terhadap virus selesema burung selepas kes pertama dikesan pada kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS).
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah jangkitan virus selesema burung H5N1 dalam kalangan manusia semakin meningkat, kata Pengarah Kesediaan dan Pencegahan Wabak dan Pandemik WHO, Maria Van Kerkhove, dalam satu sidang media.
“Kita memerlukan pemantauan yang lebih ketat di seluruh dunia, termasuk di AS dan negara lain, terhadap haiwan seperti burung liar, unggas ternakan, serta haiwan yang diketahui mudah terdedah kepada jangkitan seperti babi dan lembu tenusu. Ini penting untuk memahami lebih mendalam penyebaran virus dalam kalangan haiwan,” katanya.
H5N1 pertama kali dikesan pada tahun 1996, tetapi sejak 2020, jumlah wabak dalam kalangan burung meningkat dengan mendadak, disertai peningkatan jangkitan dalam kalangan haiwan mamalia.
Wabak itu telah menyebabkan kematian puluhan juta unggas, dengan burung liar dan mamalia darat dan laut turut dijangkiti.
Kes manusia yang direkodkan di Eropah dan AS sejak peningkatan virus itu, kebanyakannya bersifat ringan.
Pada Mac lalu, jangkitan turut dikesan dalam beberapa kawanan lembu tenusu di seluruh AS.
Pegawai kesihatan AS menegaskan bahawa risiko kepada orang awam adalah rendah, namun lebih tinggi bagi mereka yang bekerja secara langsung dengan haiwan ternakan seperti burung dan lembu tenusu. – AFP