Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    1 maut, 30 cedera letupan bom kereta di selatan Thailand

    NARATHIWAT, 22 NOV – Seorang pegawai polis maut manakala 30 lagi termasuk orang awam cedera dalam insiden letupan bom kereta di perkarangan kuarters polis di Narathiwat, selatan Thailand hari ini.

    Dalam insiden kira-kira 12:45  tengah hari (waktu tempatan), satu letupan dilaporkan di perkarangan kuarters polis apabila sebutir bom buatan sendiri yang dipasang dalam sebuah pikap diletupkan. 

    Setakat ini, Hospital  Narathiwat Rajanagarindra menyatakan sekurang-kurangnya 31 orang menerima rawatan di hospital termasuk tiga yang cedera parah.

    Ketua Polis Daerah Narathiwat, Kolonel Jeffrey Salaimankul berkata letupan itu turut mengakibatkan bangunan kuarters dan kenderaan polis serta orang awam mengalami kerosakan. 

    “Ia sebutir bom kereta. Siasatan awal berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup mendapati seorang lelaki memandu sebuah pikap ke tempat letak kereta di perkarangan kuarters polis sebelum beredar dari kawasan itu dengan menaiki sebuah motosikal. 

    “Bom buatan sendiri seberat lebih 50 kilogram dan dipasang pada tong gas dalam pikap itu  kemudiannya diletupkan,” katanya pada satu sidang media.  

    Letupan itu menyebabkan bangunan dan kenderaan di tempat letak kereta berhampiran kuarters polis berkenaan terbakar dan mengalami kerosakan teruk. 

    Polis sedang menjejaki suspek dan menyiasat motif serangan. 

    Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut. – Bernama

    Asap tebal kelihatan dalam letupan di kuarter polis di Narathiwat. – ANN/The Nation
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...